FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
Reuters

Hanoi: Vietnam akan menamatkan sekatan Covid-19 kepada penumpang penerbangan antarabangsa mulai Selasa ini, tanpa had pada bilangan penerbangan, menurut laporan akhbar Tuoi Tre milik kerajaan.

Negara Asia Tenggara itu mengenakan kawalan sempadan yang ketat pada permulaan wabak untuk mengelakkan Covid-19 dan berjaya mengawalnya.

Namun, sektor pelancongannya terjejas teruk dengan hanya kira-kira 10 peratus sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Vietnam akan menarik balik sekatan ke atas penerbangan antarabangsa mulai 15 Februari ini.

"Kekerapan penerbangan akan dikembalikan ke tahap prapandemik," kata Tuoi Tre, memetik Timbalan Pengarah Pentadbiran Penerbangan Awam Vietnam, Dinh Viet Son.

Son berkata, Vietnam sudah memaklumkan kepada rakan kongsinya mengenai dasar baharu itu dan hanya China yang belum bersetuju untuk menyambung semula penerbangan komersial dengan Vietnam.

Selain itu, penumpang antarabangsa yang sudah divaksin perlu menjalani kuarantin selama tiga hari saja.

Negara berkenaan merekodkan hampir 2.5 juta kes Covid-19 sejak wabak itu bermula, termasuk kira-kira 39,000 kematian.

Hampir 98 peratus daripada 98 juta penduduknya sudah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin, menurut data rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 7:56 PM