Agensi

Srinagar: Demi melangsaikan hutang selepas perniagaannya gulung tikar akibat Covid-19, seorang penjual kereta di selatan Kashmir nekad menjual buah pinggangnya walaupun sedar ia salah di sisi undang-undang India.

Sabzar Ahmad Khan, 28, yang menetap di perkampungan Nussu, Qaziqund di daerah Kulgam turut mengiklankan tawaran itu dalam surat khabar tempatan.

"Saya mahu menjual buah pinggang kerana kehilangan semuanya dalam perniagaan, tetapi masih perlu membayar hutang Rs90 lakh rupees (RM494,225.32). Saya merayu sesiapa yang memerlukan buah pinggang supaya menghubungi saya," demikian iklan yang dibuat Sabzar seperti dilaporkan India Times.

Hutang sebanyak Rs61 lakh (RM334,974.94) perlu dibayar kepada bank manakala sebanyak Rs30 lakh (RM164,741.77) dengan pemiutang.

Selain menjual dan membeli kereta lama, Sabzar juga adalah kontraktor berdaftar dengan kerajaan namun pendapatannya terjejas kerana dua kali sekatan pergerakan akibat Covid-19 di kawasan berkenaan.

Dia yang baru berkahwin tahun lalu dilaporkan sudah memaklumkan kepada semua ahli keluarganya berhubung penjualan buah pinggang berkenaan semata-mata membayar hutang.

Malah, dia hanya berkurung di dalam rumah kerana tidak sanggup berdepan pemiutang dan adik lelaki bongsunya terpaksa bekerja sebagai buruh untuk menanggung keluarga mereka buat masa ini.

Ditanya sama ada sudah menerima panggilan daripada pembeli, Sabzar berkata, "Saya menerima beberapa panggilan pembeli yang berminat, seorang menawarkan bayaran Rs20 lakh (RM109,827.85) dan seorang lagi, Rs25 lakh (RM137,284.81)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 6:30 AM