Petugas Perkhidmatan Kecemasan Negeri meninjau keadaan banjir di kawasan Windsor di tenggara Sydney. Foto AFP
Petugas Perkhidmatan Kecemasan Negeri meninjau keadaan banjir di kawasan Windsor di tenggara Sydney. Foto AFP
AFP

Sydney: Ribuan penduduk diarahkan berpindah, manakala lebih 200 sekolah ditutup berikutan banjir buruk di utara Sydney, akibat hujan lebat melanda kawasan tenggara Australia.

Hujan lebat sepanjang hari itu menyebabkan banjir semakin meluas di kawasan pesisir di New South Wales yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

Ia terjadi hanya setahun selepas kebakaran akibat perubahan iklim yang belum pernah berlaku sebelumnya di wilayah sama, diikuti kemarau berpanjangan yang menyaksikan Sydney terpaksa memperkenalkan catuan air.

Bahagian pesisir utara New South Wales adalah yang paling teruk terjejas dan Ketua Menteri New South Wales Gladys Berejiklian berkata, wilayah itu dilanda bencana alam yang terjadi sekali dalam setiap 100 tahun.

Di Lembah Hawkesbury-Nepean yang luas di Sydney, paras air sungai dijangka meningkat ke tahap yang tidak pernah dilihat sejak 1961 selepas Empangan Warragamba yang membekalkan sebahagian besar bekalan air bersih Sydney, melimpah pada Sabtu lalu.

Pihak berkuasa memberi amaran mengenai situasi yang boleh mengancam nyawa walaupun setakat ini belum ada laporan kematian atau kecederaan serius.

Perkhidmatan Kecemasan Negeri menerima 8,700 panggilan bantuan sejak krisis bermula dengan lebih 2,000 daripadanya dalam tempoh 24 jam terakhir, kata pegawai kepada Sky News Australia.

Pihak berkuasa pendidikan menyatakan lebih daripada 200 sekolah ditutup, termasuk beberapa yang mengalami kerosakan disebabkan banjir.

Biro Ramalan Cuaca juga memberi amaran mengenai keadaan berbahaya hari ini, sebelum menjangkakan cuaca buruk itu mulai reda dijangka pada akhir minggu ini.

Rekod taburan hujan dijangka akan turun dalam beberapa hari nanti ketika banjir merebak ke barat laut negeri itu dan lebih jauh ke utara ke Queensland.

Pegawai kesihatan berkata, hujan lebat dan banjir akan menangguhkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 yang dihentikan sementara di Sydney dan sekitarnya kerana masalah bekalan dan penghantaran.

Hujan dan banjir turut dilaporkan akan menyebabkan kelewatan pemberian suntikan vaksin Covid-19 di bandar ini dan kawasan sekitarnya.

Australia dijadual memulakan fasa pertama suntikan vaksin besar-besaran mulai esok selepas program itu mengalami kelewatan akibat kekurangan bekalan dan menghadapi masalah penghantaran.

Penduduk berpusu-pusu pindah ke pusat pemindahan di utara bandar ini susulan hujan lebat semalam yang melanda wilayah pesisir pantai itu akibat hujan luar biasa pada musim panas. - AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 3:54 PM