BANJIR di pinggir Sydney. FOTO AFP
BANJIR di pinggir Sydney. FOTO AFP
AFP

Sydney: Angka kematian akibat banjir yang melanda pantai timur Australia meningkat kepada 20 orang, pada Selasa, selepas mayat seorang lelaki dan seorang wanita ditemukan di Sydney.

AFP melaporkan, polis percaya pasangan itu adalah ibu dan anak lelaki yang hilang selepas kereta mereka tenggelam di dalam terusan.

Puluhan ribu penduduk Sydney diarahkan untuk meninggalkan kediaman mereka, ketika ribut yang teruk dan banjir kilat membanjiri kawasan bandar terbesar di Australia itu, pada Selasa.

Biro cuaca memberi amaran tentang '48 jam lebih sukar' untuk Sydney, dengan 60,000 orang tertakluk kepada arahan pemindahan di seluruh kawasan yang terjejas, menurut perkhidmatan kecemasan.

Hujan lebat di Sydney menyebabkan banjir yang menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bumbung sebuah pasar raya.

Empangan Manly, di utara bandar itu, mula melimpah pada Selasa, dengan 2,000 penduduk diarahkan berpindah.

Di pinggir sungai Georges Hall, kenderaan separa tenggelam dan polis terpaksa menyelamatkan mereka yang terkandas di dalam kereta akibat paras air yang semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 3:45 PM