Penduduk Palestin menimbun barang-barang mereka di atas kenderaan ketika keluar ke kawasan lebih selamat pada Jumaat. FOTO AFP
Penduduk Palestin menimbun barang-barang mereka di atas kenderaan ketika keluar ke kawasan lebih selamat pada Jumaat. FOTO AFP
AFP & Agensi

Geneva: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan lebih 100,000 penduduk Gaza terpaksa melarikan diri dari bandar Rafah di selatan, hanya beberapa hari selepas tentera Israel menyerang dan mengambil alih Lintasan Sempadan Rafah-Mesir.

Koordinator Kanan Kecemasan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Hamish Young berkata, anggaran itu dibuat pihaknya untuk tempoh empat hari sejak tentera Israel menguasai Rafah, Selasa lalu.

"Lebih 100,000 orang melarikan diri dari Rafah," katanya pada taklimat di Geneva melalui pautan video dari Rafah.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tumpuan terarah ke Rafah, tempat sesak menempatkan kira-kira 1.5 juta berlindung selepas ratusan ribu rakyat Palestin melarikan diri daripada pertempuran di kawasan lain di Gaza.

Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB di Gaza, Georgios Petropoulos berkata, keadaan di wilayah Palestin yang terkepung mencecah tahap kecemasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Arahan pemindahan baru-baru ini yang kami terima daripada kerajaan Israel dikaitkan dengan operasi ketenteraan di Rafah kini membabitkan lebih 110,000 orang yang terpaksa berpindah ke utara.

"Kebanyakan mereka orang yang telah berpindah lima atau enam kali," katanya pada taklimat sama.

Dengan pencerobohan terbaharu Israel ke bahagian Palestin di Lintasan Sempadan Rafah, Hamas melaporkan sebelum ini banyak korban Israel dalam operasi penentangan yang dijalankan hari ini.

Dalam kenyataan di saluran Telegram rasmi mereka, Briged Al-Qassam, sayap tentera Hamas berkata, pihaknya menyasarkan kereta kebal Merkava dengan peluru berpandu anti-perisai Al-Yassin 105 di kawasan Abu Haloua di timur bandar Rafah.

Sebuah kereta kebal Merkava 4 dilaporkan dimusnahkan juga menggunakan Al-Yassine 105 di selatan kejiranan Zaytoun di bandar Gaza, lokasi pertempuran sengit antara pejuang Hamas dan tentera Israel.

Kata Hamas, pangkalan tentera Israel turut disasarkan dengan pelancar roket berkaliber 114mm Rajoum jarak dekat.

Sebuah Pengangkut Kakitangan Berperisai (APC) tentera Israel juga dimusnahkan dengan Al-Yassin 105 di timur Rafah, sebagai tambahan kepada dua kereta kebal Israel di kawasan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 3:20 PM