ILUSTRASI cat air asal untuk edisi pertama 'Harry Potter and the Philosopher's Stone'. FOTO Sotheby's
ILUSTRASI cat air asal untuk edisi pertama 'Harry Potter and the Philosopher's Stone'. FOTO Sotheby's
AFP

New York: Ilustrasi cat air asal untuk edisi pertama 'Harry Potter and the Philosopher's Stone' - buku yang memperkenalkan dunia kepada ahli sihir muda berkaca mata itu akan dilelong di sini, Rabu ini.

Karya Thomas Taylor, yang baru berusia 23 tahun pada 1997 ketika dia melukis imej ikonik 'Harry Potter' dengan 'parut kilat' dan cermin mata bulat itu, dijangka dilelong mencecah antara AS$400,000 hingga AS$600,000 (kira-kira RM1.8 hingga RM2.8 juta) di Sotheby's.

Taylor bekerja di kedai buku kanak-kanak di Cambridge, England, apabila dia ditawarkan oleh penerbit Barry Cunningham di Bloomsbury untuk melukis imej untuk buku JK Rowling, yang akan dikeluarkan di London pada 26 Jun 1997.

Dia antara orang pertama yang membaca buku itu menurut pakar buku di Sotheby's, Kalika Sands.

"Jadi dia mengenaI dunia (itu) sebelum orang lain dan terpulang kepada dia untuk memikirkan bagaimana dia membayangkan Harry Potter," kata Sands.

Rowling dan Taylor tidak diketahui apabila buku itu dikeluarkan, dan hanya sedikit yang menjangkakan ia akan menjadi fenomena global.

Hanya 500 salinan edisi pertama dicetak, dan 300 daripadanya dihantar ke perpustakaan, menurut Sotheby's. Tetapi buku itu tidak lama kemudian menjadi naskhah terlaris.

Selepas 27 tahun, ia mencetuskan apa yang dipanggil "Potterverse" menampilkan tujuh buku asal Rowling, francais filem blockbuster, drama pentas yang mendapat pengiktirafan dan permainan video.

Lebih daripada 500 juta naskhah buku itu dijual, dalam 80 bahasa.

"Ketika saya menulis dan menggambarkan kisah saya sendiri hari ini, saya bangga melihat kembali permulaan yang ajaib itu," kata Taylor, yang kini pengarang dan ilustrator buku kanak-kanak, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sotheby's.

Kali pertama ilustrasi itu ditawarkan pada lelongan di Sotheby's di London pada 2001 dan ia hanya memperoleh AS$108,500 (kira-kira RM511,000). Tetapi hanya empat edisi buku itu diterbitkan pada masa berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 12:55 PM