SALINAN edisi pertama 'Harry Potter and the Philosopher's Stone' oleh pengarang British, JK Rowling dilelong pada majlis anjuran Bonham “Fine Books, Manuscripts, Atlases and Historical Photographs” yang akan diadakan di London. -Foto Agensi
SALINAN edisi pertama 'Harry Potter and the Philosopher's Stone' oleh pengarang British, JK Rowling dilelong pada majlis anjuran Bonham “Fine Books, Manuscripts, Atlases and Historical Photographs” yang akan diadakan di London. -Foto Agensi
Agensi

LONDON: Peminat mampu memiliki edisi pertama ‘Harry Potter and the Philosopher's Stone’ apabila novel kulit keras berkenaan bakal dilelong di London dengan harga dijangka antara AS$52,000 hingga AS$79,000 (RM212,377 hingga RM322,650).

The Jakarta Post melaporkan, novel fantasi karya JK Rowling itu salinan buku kulit keras pertama dikeluarkan pada 1997, dan sebahagian daripada lelongan anjuran ‘Fine Books, Manuscripts, Atlases and Historical Photographs’ Bonham pada 27 Mac ini.

Edisi khas itu mengandungi beberapa ciri pelik dan kesilapan kecil, termasuk halaman mengandungi butiran penerbit yang menggunakan urutan nombor terbalik iaitu 10 hingga 1; penggunaan perkataan ‘1 wand’ (satu tongkat) pada halaman 53; serta kesilapan ejaan bagi perkataan ‘philosopher's’ pada bahagian bawah kulit buku.

Ia juga mempunyai tandatangan Rowling pada pelekat yang diletakkan secara longgar di dalamnya.

Novel lain yang turut dilelong seperti salinan pembentangan ‘The Universe in Brief’ oleh Stephen Hawking bersertakan cap jari ahli fizik itu pada halaman pertama selain kontrak perkahwinan antara Edward III dan Philippa Hainault.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 9:12 PM