SUKARELAWAN meminta pengundi untuk mengundi tanpa komited dan tidak mengundi Presiden Joe Biden ketika pilihan raya utama Presiden Michigan. FOTO AFP
SUKARELAWAN meminta pengundi untuk mengundi tanpa komited dan tidak mengundi Presiden Joe Biden ketika pilihan raya utama Presiden Michigan. FOTO AFP
Reuters

Kaherah: Israel, Hamas dan negara pengantara, Qatar menaruh harapan tinggi terhadap rundingan gencatan senjata selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata ia boleh dicapai dalam tempoh kurang seminggu, menjelang ketibaan Ramadan.

Hamas sedang menimbang cadangan yang dipersetujui oleh Israel pada rundingan dengan pengantara di Paris minggu lalu, untuk gencatan senjata kali kedua selama 40 hari, sejak perang bermula lima bulan lalu.

Menurut sumber yang rapat dengan rundingan gencatan senjata itu, cadangan di Paris menyaksikan Hamas akan membebaskan kira-kira 40 tebusan, sebagai balasan kepada pembebasan kira-kira 400 tahanan Palestin oleh Israel.

Turut dijanjikan, peningkatan kemasukan bantuan kemanusiaan untuk Gaza termasuk membina penempatan penduduk dan tentera Israel berundur dari kawasan penduduk.

Namun, perjanjian ini tidak dapat memenuhi permintaan utama Hamas supaya perang dihentikan sama sekali dan pengunduran kekal tentera serta peneroka haram Israel.

Dalam kenyataan disiarkan di NBC 'Late Night with Seth Meyers', Biden berkata Israel bersetuju untuk menghentikan pertempuran di Gaza sepanjang Ramadan, yang dijangka bermula pada 10 Mac.

Pada Isnin, Biden berharap perjanjian gencatan senjata itu dapat bermula pada 4 Mac.

Pasukan misi bantuan memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC), di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, satu perempat daripada penduduk Gaza berisiko kebuluran.

"Israel mesti membenarkan lebih banyak lagi kemasukan bantuan," kata Timbalan Duta PBB untuk AS, Robert Wood.

Dalam temu bual dengan akhbar Guardian, seorang pakar yang dilantik PBB mengenai hak makanan, Michael Fakhri, menuduh Israel sengaja menafikan hak orang awam mendapatkan makanan di Gaza, yang ternyata jelas ia satu bentuk jenayah perang.

Timbalan Duta Besar Israel untuk PBB, Jonathan Miller pula memberitahu majlis itu yang negaranya komited untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza, dengan kuantiti dan kadar bantuan dihantar bergantung kemampuan PBB dan agensi lain.

"Israel jelas dalam dasar-dasarnya. Tiada had langsung, dan saya ulangi, tiada had jumlah bantuan kemanusiaan yang boleh dihantar kepada penduduk awam Gaza," katanya.

Sebelum ini, jurucakap kerajaan Israel, Tal Heinrich berkata, sebarang perjanjian untuk gencatan senjata di Gaza masih memerlukan Hamas untuk menggugurkan beberapa tuntutannya.

"Kami bersedia, tetapi persoalannya, sama ada Hamas bersedia," katanya.

Qatar, yang bertindak sebagai negara pengantara utama, berkata tiada kejayaan dicapai setakat ini, namun yakin akan ada berita baik dalam minggu ini.

"Kami tidak mempunyai perjanjian muktamad mengenai mana-mana isu yang menghalang persetujuan.

Kami tetap berharap boleh mencapai beberapa bentuk persetujuan," kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari.

Dua pegawai kanan Hamas memberitahu, kenyataan Biden kelihatan terlalu awal, memandangkan masih terdapat jurang besar yang perlu dipersetujui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 10:36 AM