Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO IHSAN JBPM
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO IHSAN JBPM
Recqueal Raimi


Tuaran: Lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung pacuan empat roda di Jambatan Batangan berhampiran CKS Supermarket di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 6.40 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala serta anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.44 pagi.

Katanya, seramai sepuluh anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati tersepit dan dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dihubungi.

Menurutnya, mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu Toyota Hilux berusia 48 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:14 PM