Hakimi Suria Kencana dan Nurul Najwa Mohd Noordin dan Nor Syazrina Muhamad Tahir

Kuala Lumpur: Kerjaya hakiki sebagai jurugambar profesional bukan penghalang bagi seorang pemuda 'berkorban' dengan mengambil tanggungjawab memenuhi fardu kifayah menguruskan 71 jenazah warga asing tidak dituntut sejak lebih empat tahun lalu.

Bagi Mohamed Hassan Habibur Rahiman, 39, menguruskan semua jenazah itu secara solo bukan masalah, sebaliknya ia satu pengorbanan memenuhi tuntutan agama selain berharap ia memanfaatkan semua pihak.

"Saya pikul tanggungjawab ini untuk membantu saudara seagama. Mungkin satu hari nanti ada rakyat Malaysia berdepan masalah urus jenazah di luar negara dan mereka pula dibantu.

"Siapa tahu, esok lusa saya atau pun rakyat Malaysia lain berdepan masalah sama. Jadi, saya anggap ia tanggungjawab membantu semua walaupun saya berseorangan," katanya.

MOHAMED Hassan.
MOHAMED Hassan.

Menurutnya, inisiatif itu bermula selepas dia mengikuti abang angkatnya yang juga sukarelawan menguruskan jenazah warga asing tidak dituntut atas permintaan keluarga.

Mohamed Hassan berkata, selepas mentornya diuji masalah kesihatan beberapa tahun lalu, dia mengambil keputusan meneruskan usaha murni itu memandangkan banyak 'permintaan' berbuat demikian.

Dengan sebahagian besar menggunakan wang sendiri, jurugambar profesional itu berkata, setakat ini dia menguruskan jenazah dari beberapa negara seperti Brunei, Filipina, India dan Nepal.

"Saya bantu urus bagi pihak keluarga yang tidak boleh datang ke sini atas beberapa faktor seperti jarak dan kos.

"Bermula daripada pengesahan di kedutaan, dokumentasi serta kebenaran menguburkan, saya buat sendiri.

"Untuk pengebumian, ada masanya saya dibantu beberapa badan bukan kerajaan dan masjid. Alhamdulillah, semua mudah dan proses itu dimaklumkan kepada keluarga," katanya.

ANTARA jenazah warga asing yang tidak dituntut keluarga mereka kerana masalah jarak serta kos dan disempurnakan pengebumian mereka dengan bantuan Mohamed Hassan.
ANTARA jenazah warga asing yang tidak dituntut keluarga mereka kerana masalah jarak serta kos dan disempurnakan pengebumian mereka dengan bantuan Mohamed Hassan.

Menurutnya, antara cabaran dilalui termasuk menguruskan jenazah tidak sempurna dan tiada waris, menjadikan proses rumit daripada biasa.

"Macam kita di negara orang, apabila berlaku sesuatu kita tak tahu untuk uruskan. Jadi saya perlu kebenaran bertulis daripada mereka. Bila dapat keizinan, baru saya mulakan proses dari awal.

"Ada juga kes keluarga tak ada wang untuk pengurusan. Dengan kerjasama rakan dan sumbangan dana individu, saya dapat selesaikan.

"Bila selesai, saya boleh nampak mereka lega, mereka puas. Orang tersayang dikebumikan," katanya.

ANTARA jenazah warga asing yang tidak dituntut keluarga mereka kerana masalah jarak serta kos dan disempurnakan pengebumian mereka dengan bantuan Mohamed Hassan.
ANTARA jenazah warga asing yang tidak dituntut keluarga mereka kerana masalah jarak serta kos dan disempurnakan pengebumian mereka dengan bantuan Mohamed Hassan.

Mohamed Hassan berkata, biarpun tidak mengenali dan tiada hubungan keluarga, dia tetap menguruskan semua jenazah itu dengan baik tanpa mengira kedudukan atau status.

"Selalu saya terfikir, kalau kita di tempat itu bagaimana pula. Sudahlah keluarga jauh, sebatang kara, siapa nak bantu.

"Tak tergamak nak tinggal lama-lama di bilik mayat atau tempat penyimpanan. Jadi, saya uruskanlah mengikut peraturan sedia ada," katanya.

Ditanya apakah dia menggalakkan anaknya turut sama menguruskan jenazah, Hassan berkata, dia sudah menerapkan inisiatif itu kepada mereka.

MOHAMED Hassan menguruskan semua jenazah dengan baik tanpa mengira kedudukan atau status.
MOHAMED Hassan menguruskan semua jenazah dengan baik tanpa mengira kedudukan atau status.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:01 PM