PEMANDANGAN udara menunjukkan kesan kemusnahan susulan serangan udara Israel di Gaza. FOTO AFP
PEMANDANGAN udara menunjukkan kesan kemusnahan susulan serangan udara Israel di Gaza. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berkata, ia menghentikan penerbangan dron peninjau di atas Semenanjung Gaza yang dikepung, di tengah-tengah gencatan senjata yang berterusan antara Hamas dan Israel, lapor Agensi Anadolu.

"Berdasarkan jeda operasi, dan selaras dengan perjanjian yang dicapai antara Israel dan Hamas, kami tidak menjalankan penerbangan ISR itu... buat masa ini," jurucakap Pentagon Briged Jeneral Patrick Ryder memberitahu pemberita.

Dia menggunakan akronim ISR untuk merujuk kepada perisikan, pengawasan dan peninjauan.

AS secara terbuka mengesahkan ia melakukan penerbangan dron di atas Gaza pada 3 November dan berkata, ia untuk membantu usaha membebaskan lebih 200 tebusan yang ditawan pada 7 Oktober selepas Hamas melakukan serangan rentas sempadan ke atas Israel.

Israel dan Hamas bersetuju dengan gencatan senjata awal empat hari Jumaat. Ia dilanjutkan selama dua hari untuk memudahkan penghantaran lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza, serta pembebasan tebusan tambahan yang ditahan oleh Hamas dan tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Israel melancarkan kempen ketenteraannya yang meluas terhadap Gaza berikutan serangan rentas sempadan yang mengorbankan lebih 1,200 orang, menurut angka rasmi Israel.

Lebih 15,000 orang, termasuk 6,150 kanak-kanak dan 4,000 wanita, terbunuh di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan di enklaf itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 8:48 AM