BIDEN berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma di Seatac, Washington, pada Sabtu Biden selepas menghadiri pengumpulan dana kempen di California dan Washington. FOTO AFP
BIDEN berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma di Seatac, Washington, pada Sabtu Biden selepas menghadiri pengumpulan dana kempen di California dan Washington. FOTO AFP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi jaminan, gencatan senjata di Gaza, Palestin boleh berlaku dalam masa terdekat jika kumpulan Hamas membebaskan tahanan mereka.

Biden berkata, jaminan itu selepas Israel memaklumkan terpulang kepada Hamas untuk menamatkan konflik itu yang memasuki bulan ketujuh.

"Akan ada gencatan senjata esok jika Hamas membebaskan tebusan. Israel memaklumkan, terpulang kepada Hamas, jika mereka mahu melakukannya, kita boleh menamatkannya esok.

"Dan gencatan senjata akan bermula esok," katanya di Seattle, semalam.

Kelmarin, Biden menolak mengulas topik sama dalam tiga acara dihadirinya.

Presiden membangkitkan isu itu selepas memberi amaran kepada Israel pada Rabu, AS akan berhenti membekalkan peluru artileri dan senjata lain jika tenteranya menyerang bandar Rafah, di selatan Gaza, kerana beliau kesal orang awam terbunuh dengan pengguguran bom AS.

"Jika mereka pergi ke Rafah, saya tidak membekalkan senjata yang digunakan... untuk berurusan dengan bandar itu.

"Kami tidak akan membekalkan senjata dan peluru artileri yang digunakan (untuk menyerang Rafah)," katanya dalam wawancara televisyen dengan CNN.

Hamas dan Israel setakat ini gagal mencapai kata sepakat dalam gencatan senjata walaupun berulang kali mengadakan rundingan tidak langsung.

Kira-kira 250 orang diculik ke Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu apabila Hamas menyerang selatan Israel.

Pegawai Israel berkata 128 daripada mereka masih ditawan di wilayah Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 36 yang meninggal dunia.

Serangan Israel mengakibatkan sekurang-kurangnya 34,971 orang terbunuh di Gaza setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 10:36 AM