Silverman mengalami lebih daripada 50 alahan makanan. FOTO Mia Silverman/Tiktok
Silverman mengalami lebih daripada 50 alahan makanan. FOTO Mia Silverman/Tiktok
Agensi

New York: Wanita dari Boston, Amerika Syarikat (AS) ini bergelut menjalani kehidupan normal, hampir apa sahaja dimakannya boleh membawa maut kerana mengalami lebih daripada 50 alahan makanan.

New York Post melaporkan, alahan itu boleh menyebabkan Mia Silverman, 20, mengalami anafilaksis yang dicirikan dengan ruam di seluruh tubuh, penurunan tekanan sehingga mengakibatkan renjatan peredaran darah dan berisiko maut jika tidak dirawat dengan segera.

Silverman ketika ini perlu membawa EpiPen - sejenis suntikan untuk merawat alahan - setiap masa untuk mengelakkan sebarang tindak balas yang mengancam nyawanya sekiranya terlanggar 'pantang' rutin pemakanannya itu.

"Sejak kanak-kanak lagi, saya bergelut untuk mencerna makanan seperti tenusu. Ketika berusia dua tahun, bapa pernah memberikan saya biskut mengandungi kacang, (selepas memakannya) tekak saya tertutup, seluruh badan saya penuh dengan ruam dan saya muntah," kata Silverman.

Silverman memberitahu Caters News, "Sukar untuk makan apa yang saya mahukan. Saya terpaksa memakan makanan sihat. Saya cenderung memakan makanan lengkap seperti stik dan pasta. Sebaik sahaja saya mula memakan makanan yang diproses, di situlah masalah bermula."

Senarai alahan Silverman termasuk kacang tanah; kekacang dan minyaknya, termasuk badam, kacang Brazil, gajus, hazelnut dan macadamia; semua jenis bijian dan minyaknya, selain daripada biji bunga matahari, termasuk chia, rami dan bijan; monosodium glutamat; telur; mentega; krim — perasa dan pewarna.

Dia juga alah kepada semua ikan, serta buah-buahan dan sayur-sayuran seperti kiwi, tembikai, mangga, epal, pic, pear dan ceri. Lentil, dal, sulfat, lateks dan dadih susu juga dalam senarai yang mengancam nyawanya.

Beberapa alahan lain ialah coklat, kopi, kunyit, lupin, pewarna makanan merah tertentu, susu, keju, tarragon, sumac, tahini, za'atar, terung, zucchini, annatto, karotena, wain merah dan paprika.

"Ia sangat menakutkan, mereka (pasukan perubatan) menjalankan beberapa ujian dan mendapati saya mempunyai semua alahan lain ini. Sejak itu, ia terus berkembang dengan lebih banyak lagi (alahan)," kata Silverman.

Silverman mengakui, dia sering berasa seperti 'orang terbuang' kerana masalah itu menghalangnya untuk sewenang-wenangnya keluar makan dan bersosial, tambahan pula dia boleh mengalami alahan baharu pada bila-bila masa.

"Saya benar-benar bergelut di sekolah dan kesihatan mental saya terjejas. Saya banyak dibuli sehingga ke sekolah menengah," katanya.

"(Keadaan) saya bertambah baik sekarang, tetapi ketika masih kecil, ia sangat sukar. Saya dihantui ketakutan bahawa apa-apa yang saya makan, boleh membunuh saya."

Dia juga mengakui bergelut untuk berurusan dengan pihak restoran dan pasar raya untuk memastikan hidangan makanan yang dipesan memenuhi keperluan khususnya.

"Pilihan untuk ibu memasak makanan kepada saya pula terhad, tetapi itulah cabarannya dan ibu seorang tukang masak yang sangat baik," kata Silverman.

"(Sekiranya) ibu terpaksa membeli makanan untuk saya, dia perlu bercakap dengan tukang masak, terdapat begitu banyak komunikasi yang ibu lakukan hanya untuk memastikan saya selamat."

"Setiap kali saya pergi ke pesta, saya perlu membawa makanan saya sendiri dan kek cawan saya sendiri, apa yang lebih menyakitkan apabila anda rasa anda tidak boleh mengambil bahagian (bersosial) dalam apa-apa keadaan," akuinya.

Silverman memberitahu Caters News, dia sudah mencuba pelbagai rawatan serta ubatan, namun doktor mengesyaki dia mempunyai keadaan autoimun (penyakit melemahkan tindakan imun) yang masih belum didiagnosis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 3:56 PM