KANAK-kanak juga mengalami masalah alahan resdung yang mendatangkan rasa kurang selesa.
KANAK-kanak juga mengalami masalah alahan resdung yang mendatangkan rasa kurang selesa.
Siti Nadirah Hafidzin


SETIAP ibu bapa tentu saja mengharapkan cahaya mata tersayang sentiasa memiliki tahap kesihatan terbaik. Namun dalam sikap berhati-hati terutama membabitkan kebersihan dan penyakit, masih ramai kanak-kanak yang mengalami masalah alahan.

Walaupun secara zahirnya ia tidak berbahaya, masalah itu boleh mendatangkan rasa kurang selesa dan menderita dalam kalangan penghidapnya, apatah lagi kepada si kecil anda.

Namun, tahukah anda alahan resdung lebih mudah berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang mengalami alahan? Maksudnya jika ibu bapa mempunyai masalah alahan, si anak juga berisiko untuk mendapat masalah sama.

Mengupas mengenai alahan dalam kalangan kanak-kanak, Pegawai Perubatan Sarjana Pembedahan Telinga, Hidung, Tekak, Kepala & Leher Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Ezairy M Sallih berkata, agak sukar bagi ibu bapa untuk memastikan punca alahan anak atau alergen sama ada datangnya daripada persekitaran, makanan atau faktor lain.

“Oleh itu, saya sering menasihatkan supaya lebih menumpukan perhatian kepada pemantauan gejala alahan anak-anak. Pastikan semua simptom yang dialami tidak mengganggu kehidupan seharian anak dan lebih penting, ia tidak mengganggu perkembangan kemahiran mental (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan persekolahan mereka.

“Jika ibu bapa mampu mengenal pasti punca alahan anak, secara tidak langsung ia akan meningkatkan kualiti hidup mereka, mengurangkan jumlah hari tidak hadir ke sekolah dan ia juga membantu meningkatkan lagi perkembangan akademik anak anda,” katanya.

Menurutnya, ada pelbagai punca alahan yang boleh dialami kanak-kanak dan kebiasaannya pesakit yang ditemui mengadu mengalami gejala alahan apabila mengambil sesetengah makanan seperti yang berasaskan kacang, telur, udang, ketam, kerang atau ayam.

“Perlu diingatkan setiap anak-anak tidak sama punca alahannya. Anda tidak boleh menganggap jika anak sulung alah kepada udang, maka semua anak yang lain turut mengalami alahan kepada jenis makanan sama.

“Walaupun mempunyai pertalian hubungan adik-beradik namun tidak bermakna mereka alah kepada alergen yang sama,” katanya.

Dr Ezairy menyenaraikan beberapa punca alahan yang boleh berlaku kepada kanak-kanak:

1. Persekitaran luar:

Ia boleh disebabkan oleh debunga pokok, tumbuh-tumbuhan dan habuk serta asap yang ada di luar rumah.

2. Persekitaran dalam rumah:

Ia mungkin daripada bulu haiwan peliharaan seperti kucing. Boleh juga disebabkan hama atau habuk yang terperangkap pada sarung bantal, tilam, langsir, permaidani atau mungkin juga daripada pendingin hawa.

3. Makanan:

Ada beberapa jenis makanan yang agak biasa dikaitkan dengan punca alahan seperti kacang tanah, telur, makanan laut, coklat dan susu.

4. Lain-lain:

Selain itu, ada juga pesakit yang mudah untuk mengalami alahan apabila terdedah kepada asap rokok, asap kenderaan di luar rumah dan minyak wangi.

Justeru, Dr Ezairy berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan besar dalam mengenal pasti punca alahan si kecil.

“Perlu pantau segala masalah yang dihadapi anak termasuk gejala seperti kerap bersin, hidung berair, mata gatal atau masalah kulit kerana ini semua biasanya berlaku kepada anak-anak yang mempunyai alahan tertentu.

“Saya sering menerima soalan daripada ibu bapa mengenai cara untuk kenal pasti anak yang mempunyai alahan terhadap sesuatu makanan. Ya, ada

beberapa perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.

SIMPTOM ALAHAN MAKANAN

Antara simptom yang biasa dialami adalah:

1. Ruam kemerah-merahan pada kulit:

Ini biasa berlaku kepada anak-anak sekiranya mereka lebih sensitif kepada sesuatu keadaan. Jika ini berlaku berulang kali, maka anda perlu kenal

pasti puncanya dengan segera.

2. Gejala pada hidung:

Kanak-kanak yang mempunyai masalah alahan juga akan mengalami simptom alahan pada hidung. Anda akan mendapati anak kerap mengalami gatal pada hidung, mudah bersin dan hidung berair. Cuba kenal pasti punca yang menyebabkan ia berlaku supaya masalah ini tidak berlarutan tanpa pemantauan rapi.

3. Simptom pada tekak:

Pesakit biasanya akan lebih kerap bersin berpanjangan sebaik bangun tidur, terutama pada waktu pagi yang akan memberi rasa tidak selesa, gatal hidung, mata, tekak dan muka serta kahak yang mengalir di belakang tekak. Disebabkan itu, ramai juga pesakit yang mengadu mengalami masalah tidak selesa dan sakit pada kawasan tekak.

4. Simptom pada mata:

Anak anda bukan saja ada masalah pada kulit dan hidung, bahkan mereka juga boleh mengalami masalah gatal pada mata, mata kerap rasa kering atau berair.

5. Sesak nafas:

Ia simptom serius dan jika tidak ditangani dan dikenal pasti lebih awal, anda mungkin sengaja membiarkan anak terus menjalani kehidupan dengan terdedah kepada punca alahan yang boleh membahayakan mereka! Dalam sesetengah kes, ia boleh mengakibatkan masalah sesak nafas yang teruk hingga pesakit terpaksa dimasukkan ke hospital.

6. Masalah pada sistem pencernaan:

Ada juga keadaan di mana anak anda mungkin mengalami gejala alahan dalam perut seperti cirit-birit dan sakit perut. Walaupun tidak kerap ditemui berbanding gejala lain, namun simptom ini juga perlu diketahui ibu bapa supaya perkara ini dapat dicegah

Menurut Dr Ezairy, ibu bapa perlu sedar alahan yang tidak diberikan rawatan sesuai boleh menyebabkan cecair berlendir di dalam ruang sinus akan berkumpul dalam hidung pesakit.

“Keadaan itu akan menyebabkan lapisan mukosa membengkak dan menyekat bukaan sinus. Jika jangkitan berlaku, cecair berlendir ini akan berubah warna menjadi lendir kehijauan atau kekuningan.

“Masalah ini menyebabkan pesakit hilang deria bau disebabkan hidung tersumbat dan boleh mengakibatkan komplikasi lebih buruk seperti rasa berat atau tidak selesa pada kawasan muka, pening kepala dan ada kes yang memerlukan ubat antibiotik,” katanya.

kenal pasti punca alahan

Tambahnya, ada sesetengah ibu bapa bertanya cara untuk memastikan gejala itu

tidak berulang.

“Di sini perlunya peranan besar ibu bapa di rumah. Pastikan anda berjaya kenal pasti apa punca kepada alahan anak. Ia mungkin daripada makanan, persekitaran, habuk, hama dan sebagainya. Selepas mengenal pasti punca alahan, maka ia boleh dielakkan.

“Saya percaya masalah ini akan selesai atau sekurang-kurangnya

lebih mudah untuk ditangani jika punca alahan berjaya dikenal pasti dengan lebih awal. Ada banyak rawatan yang tersedia di hospital bagi memastikan masalah ini tidak berlarutan dan berjaya ditangani dengan baik,” katanya.

Dr Ezairy berkata, untuk langkah awal, pihaknya akan menasihatkan pesakit menjalani ujian alahan

pada kulit.

“Melalui ujian ini, doktor akan melakukan ujian kepada pesakit dan terdapat lebih 40 punca alahan akan disuntik ke kulit pesakit bagi mengenal pasti punca alahan pesakit terbabit. Selepas lebih 20 minit, doktor akan membaca keputusan berdasarkan tindak balas yang berlaku pada kulit.

“Melalui ujian ini biasanya pesakit akan mengetahui apa punca alahan yang mereka

alami. Selain menjalani ujian itu, kami juga akan melakukan pemeriksaan kepada pesakit iaitu struktur dalam hidung, tekak, mulut, telinga, mata dan kulit pesakit.

“Jika masalah alahan pada hidung yang dialami amat mengganggu pesakit, mereka boleh dibantu dengan ubat steroid dalam saluran hidung untuk mengurangkan tindak balas dalam hidung dan seterusnya mampu membantu pesakit mengawal masalah yang dialami,” katanya.

Tambahnya, pembedahan kecil juga akan ditawarkan sekiranya ubat yang diberi tidak mampu merawat

bagi mengecilkan bahagian alahan dalam hidung.

“Masalah seperti

gatal-gatal pada hidung dan mata boleh juga dibantu dengan memberi ubatan seperti antihistamin oral.

“Ubat-ubat ini perlu diambil dengan pemantauan dan selepas pesakit mendapat pemeriksaan daripada doktor di klinik atau hospital terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:10 AM