HIASAN.
HIASAN.
Agensi

LONDON: Semakin ramai kanak-kanak mahupun orang dewasa di seluruh dunia, khususnya di negara Barat, kini didapati menghidap alahan kepada makanan.

Antara contoh terbaru ialah kematian dua remaja Britain selepas makan kacang dan bijan, Ogos lalu dan seorang kanak-kanak perempuan di Australia Barat maut kerana alahan kepada produk tenusu, lapor portal Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), semalam.

Di United Kingdom (UK), misalnya, alahan kepada makanan membabitkan tujuh peratus kanak-kanak, sembilan peratus di Australia manakala di Eropah, ia membabitkan dua peratus orang dewasa.

Belum ada pihak yang dapat menjelaskan mengapa kadar penghidap alahan kepada makanan meningkat tetapi ramai penyelidik sedang mencari jawapan kepada persoalan itu.

Alahan adalah disebabkan oleh sistem imunisasi tubuh melawan sesuatu dalam alam sekitar yang sepatutnya tidak berbahaya, disebut ‘allargens.’

Apa yang diketahui, penghidapnya meningkat sejak 30 tahun lalu khususnya di kalangan masyarakat negara perindustrian.

Sejauh mana peningkatan itu bergantung kepada apakah makanan itu dan di mana penghidap bermastautin, lapor BBC.

Sebagai contoh, alahan kepada kacang meningkat lima kali ganda di UK antara 1995 dan 2016. Satu kajian membabitkan 1,300 kanak-kanak berusia tiga tahun di King's College, London, menunjukkan bahawa 2.5 peratus daripada mereka kini mempunyai alahan itu.

Australia mencatatkan jumlah penghidap alahan makanan tertinggi dengan satu kajian mendapati sembilan peratus kanak-kanak berusia setahun menghidap alahan kepada telur manakala tiga peratus alah kepada kacang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 4:34 PM