PARAMEDIK membantu lelaki yang mengalami sakit dada selepas bekerja di luar bangunan untuk tempoh lama di Eagle Pass, Texas. FOTO AFP
PARAMEDIK membantu lelaki yang mengalami sakit dada selepas bekerja di luar bangunan untuk tempoh lama di Eagle Pass, Texas. FOTO AFP
AFP

Houston: Sekurang-kurangnya 13 penduduk maut akibat gelombang haba melampau yang melanda selatan Amerika Syarikat (AS) selama dua minggu, kata pegawai pada Jumaat, dengan udara di bahagian lain negara itu tercemar oleh kebakaran hutan di Kanada.

Jumlah kematian tertinggi, 11 orang, didaftarkan di Webb County, Texas, berhampiran sempadan Mexico.

"Sehingga Rabu, terdapat 11 kematian. Daripada jumlah itu, 10 adalah penduduk Webb County, kematian ke-11 pula (individu) dari daerah jiran yang dibawa ke hospital tempatan," kata pegawai tempatan dalam satu kenyataan kepada AFP.

Seorang kanak-kanak berusia 14 tahun meninggal dunia minggu lalu ketika dia mendaki di Taman Negara Big Bend di Texas, di mana suhu mencecah 48 Celsius.

Malangnya, bapa tiri mangsa pula maut dalam kemalangan kereta ketika dia bergegas menyelamatkan anak tirinya itu.

Seorang wanita berusia 62 tahun mati di negeri jiran, Louisiana, minggu lalu, selepas ribut yang menyebabkan beribu-ribu keluarga tanpa bekalan elektrik sekali gus penyaman udara tidak dapat digunakan, menurut pegawai tempatan.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, suhu di beberapa bandar di selatan AS adalah sekitar 45 darjah Celsius.

Terjadi beberapa kes kepanasan melampau hingga menyebabkan turapan merekah di Houston dan Texas, menyebabkan pihak berkuasa menubuhkan pusat penyejukan di bandar.

Sementara itu, Kanada terus bergelut dengan musim kebakaran hutan terburuk dalam sejarahnya, fenomena yang dikatakan saintis ia diburukkan lagi oleh perubahan iklim disebabkan oleh manusia.

Ketika asap merebak ke selatan, sebahagian besar AS yang menempatkan lebih 120 juta orang, dari Midwest ke Pantai Timur, kekal dengan amaran kualiti udara.

Di New York dan Philadelphia, udara dianggap tidak sihat, menurut platform kerajaan AirNow.

Makluman kualiti udara juga dikeluarkan di wilayah Ontario Kanada, serta untuk kebanyakan tempat di Tasik Besar Amerika Utara dan sebahagian Minnesota, Carolina Utara dan Georgia.

Asap dari kebakaran hutan juga sudah merentasi Lautan Atlantik dan ke seluruh negara Eropah, termasuk Portugal dan Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:38 PM