Jack Douglas Teixeira. FOTO BBC
Jack Douglas Teixeira. FOTO BBC
Reuters

Washington: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menahan seorang anggota Pengawal Nasional Udara Amerika Syarikat (AS) berhubung kebocoran dokumen sulit yang memalukan Washington.

Jack Douglas Teixeira berusia 21 tahun ditahan di rumahnya, di Dighton, Massachusetts, sebuah bandar yang kebanyakannya berhutan dengan 8,000 kira-kira 80 kilometer di selatan Boston.

FBI berkata, ejennya menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang yang dibenarkan di sebuah kediaman di North Dighton, Massachusetts.

Peguam Negara Merrick Garland memberitahu wartawan, Teixeira dikehendaki berkaitan dengan penyiasatan ke atas dakwaan penyingkiran, pengekalan dan penghantaran maklumat sulit pertahanan negara secara tidak dibenarkan.

Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin berkata, pasukan petugas Pentagon bekerja sepanjang masa untuk menilai dan mengurangkan sebarang kerosakan.

"Teixeira dijangka hadir di mahkamah pada Jumaat, kata jurucakap Pejabat Peguam AS di Boston.

Bekas pendakwa keselamatan negara, Brandon Van Grack meramalkan kemungkinan pertuduhan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun walaupun Teixeira tidak berniat untuk mendatangkan bahaya.

Jabatan Kehakiman membuka siasatan jenayah rasmi minggu lalu, selepas rujukan daripada Jabatan Pertahanan, yang menyifatkan kebocoran itu sebagai tindakan jenayah yang disengajakan.

Penahanan Teixeira itu seminggu selepas kebocoran mula diketahui secara meluas hingga menyebabkan Washington bimbang tentang kerosakan yang mungkin disebabkan mereka.

Kebocoran itu mendedahkan maklumat tentang sekutu termasuk Israel, Korea Selatan dan Turkiye.

Ia memalukan AS dengan mendedahkan risikannya terhadap sekutu dan mendakwa kelemahan tentera Ukraine.

Kebocoran dokumen, yang disiarkan sebahagian besarnya di laman media sosial, dipercayai sebagai pelanggaran keselamatan paling serius sejak lebih 700,000 dokumen, video dan kabel diplomatik muncul di laman web WikiLeaks pada 2010.

Teixeira adalah anggota kelas pertama tentera udara di Pangkalan Pengawal Nasional, Otis Air di Massachusetts, menurut rekod perkhidmatannya.

Dia menyertai Pengawal Nasional Udara pada 2019 dan bekerja sebagai Pengembara Sistem Pengangkutan Siber atau pakar teknologi maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 3:36 PM