Oleh Afiq Hanif

InfoWatch, syarikat rumusan produk pencegahan kebocoran data (DLP) memulakan kempen merekrut bakat dalam bidang linguistik yang mampu menangani masalah jenayah siber terutama berkaitan kebocoran data.

Menurut Pengarah Pembangunan Teknologi InfoWatch, Dr Ekaterina Pshehotskaya, linguistik memainkan peranan penting dalam penyelesaian DLP InfoWatch yang ahli linguistik daripada pelbagai budaya memahami bahasa tempatan yang kerap digunakan dalam jenayah siber.

"Kami dapati terdapat peningkatan secara global dalam kebocoran data di semua bidang perniagaan.

"Antara punca paling kerap yang berlaku termasuk kebocoran data menerusi pengendalian sosial, menggunakan orang dalam dan menerusi pemindahan data secara fizikal," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kajian InfoWatch pada enam bulan pertama 2014, pekerja sesebuah organisasi sendiri yang bertanggungjawab ke atas 71 peratus kebocoran data.

"Pencegahan kebocoran data cuba menganalisis lalu lintas data dan kelakuan pengguna bagi mengesan sebarang kegiatan luar biasa menjadi tugas pakar linguistik.

"Kami kemudian memberi tumpuan ke arah pengguna ini dan menyelidik dengan lebih lanjut bagi mencari punca kebocoran walaupun kami tidak berada di tempat kejadian ketika penjenayah ini diberkas, ia tetap menjadi bidang yang menarik dan benar-benar memuaskan," kata Dr Pshehotskaya.

Beliau menjemput pelajar linguistik yang ingin menyahut cabaran laluan kerjaya berbeza dengan menceburi bidang teknologi khususnya pencegahan kebocoran data berdasarkan kemahiran dan latar belakang budaya yang boleh memanfaatkan kuasa bahasa dalam mencegah jenayah siber.

InfoWatch antara syarikat yang menyertai persidangan antarabangsa mengenai Penyiasatan Jenayah Siber dan Keselamatan Siber 2014 (ICCICS2014).

Kebocoran data boleh menyebabkan kerugian besar dari aspek wang, reputasi dan mampu mendedahkan maklumat sensitif seperti nombor akaun bank serta kad kredit, nama pengguna dan kata laluan.

Tetapi, masih banyak organisasi yang belum memahami risiko terbabit untuk melindungi data sulit mereka.

Di Malaysia, Akta Perlindungan Data Peribadi (2010) dikuatkuasakan pada tahun lalu dengan matlamat melindungi data peribadi individu dalam urus niaga komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:01 AM