OMAR ketika usia remaja 17 tahun (gambar kiri) ketika diculik dan ketika berusia 43 tahun selepas ditemukan semula. FOTO Agensi
OMAR ketika usia remaja 17 tahun (gambar kiri) ketika diculik dan ketika berusia 43 tahun selepas ditemukan semula. FOTO Agensi
Agensi

Algiers: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dari rumahnya di di Djelfa, Algeria, sejak 26 tahun lalu ditemukan masih hidup di bilik bawah tanah rumah jirannya.

Omar Omran berusia 17 tahun ketika hilang dari rumahnya pada 1998, semasa Perang Saudara Algeria yang mengorbankan kira-kira 200,000 mangsa.

Oddity Central melaporkan, baru-baru ini, Omar ditemui di dalam bilik bawah tanah itu yang terletak hanya 200 meter dari rumahnya.

Semasa pergolakan antara terburuk di negara Afrika itu, ramai keluarga dan rakan-rakannya hidup dalam ketakutan.

Sengketa konflik bersenjata itu berakhir dengan anggaran 200,000 mangsa terbunuh manakala 20,000 lagi dilaporkan diculik.

Pihak berkuasa berhenti mencari Omar selepas menjejaki dalam satu tempoh yang lama, namun ibu Omar tidak pernah putus asa sehingga si ibu meninggal dunia pada 2013.

Kes Omar dianggap oleh pihak berkuasa sebagai satu lagi kes diklasifikasikan 'mungkin tidak dapat diselesaikan'.

Namun, awal minggu ini, seorang abang jiran Omar membuat hantaran di media sosial kemungkinan adiknya terbabit dalam penculikan Omar.

Dua beradik jiran kepada Omar terbabit dalam pertikaian mengenai harta pusaka menyebabkan seorang daripadanya membongkar kes supaya adiknya itu ditangkap.

Rancangan itu berjaya, apabila saudara-mara Omar yang melihat hantaran itu, segera menghubungi polis dan pejabat pendakwa raya Algeria akhirnya membenarkan pemeriksaan terhadap harta jiran yang disyaki itu.

Pada 12 Mei, Omar yang kini berusia 43 tahun akhirnya dijumpai di lokasi yang diberitahu oleh abang suspek.

Suspek lelaki berusia 61 tahun yang hanya dirujuk dengan nama singkatannya, BA, cuba melarikan diri ketika serbuan polis tetapi berjaya ditahan dan kini dalam tahanan.

Bagi Omar, dia kelihatan keliru apabila melihat polis turun ke bilik kecilnya, dan doktor mengesahkan dia mengalami masalah fizikal dan mental.

Jiran-jiran lain memberitahu saluran berita Algeria El Khabar bahawa BA tinggal bersendirian, tidak pernah membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya.

Mereka juga berasa aneh kerana sering melihat BA memesan makanan untuk sekurang-kurangnya dua orang, walaupun dia tinggal sendiri.

Penculik itu juga dituduh membunuh anjing Omar, kerana beberapa jiran masih ingat anjing itu duduk di luar kejiranan dan membuat bising pada hari-hari selepas penculikan Omar, sebelum akhirnya haiwan itu pun hilang juga.

Kes ini masih disiasat dan Omar memberitahu polis dia sering melihat ahli keluarganya melintas dari 'penjara bawah tanah' itu.

Tetapi Omar mendakwa dia tidak dapat memanggil mereka untuk mendapatkan bantuan.

Media Algeria mendakwa dia membatu seperti itu kerana penculik sudah menyihirnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:04 PM