PUSARA salah seorang mangsa serangan masjid di Christchurch, tahun lalu. FOTO AFP
PUSARA salah seorang mangsa serangan masjid di Christchurch, tahun lalu. FOTO AFP
AFP

Christchurch: Seorang bapa menyifatkan lelaki yang menyerang dua masjid di New Zealand dan menembak mati 51 orang, tahun lalu sebagai penjahat yang gagal menyemarakkan kebencian dan menyebabkan ketakutan.

Aden Diriye, bapa kepada Mucaad Ibrahim yang menjadi mangsa paling muda yang ditembak mati oleh Brenton Tarrant.

Aden menjadi antara kira-kira 60 ahli keluarga mangsa yang terkorban dan terselamat yang memberi kenyataan impak mangsa (VIS) pada prosiding jatuh hukum lelaki berkenaan di mahkamah di sini.

Lelaki itu turut berkata bahawa: "Keadilan sebenar hanya akan ditegakkan di akhirat dan ia adalah lebih teruk daripada hukuman penjara. Saya tidak akan memaafkan apa yang kamu sudah lakukan."

Hasmine Mohamedhosen yang abangnya Mohamed turut terbunuh dalam kejadian itu menyifatkan Tarrant sebagai 'anak syaitan' dan 'mahu lelaki itu mereput dalam penjara selama-lamanya'.

Ahad Nabi, bapa kepada Daoud Nabi yang terbunuh Masjid Al Noor turut menggelar Tarrant sebagai pengecut yang tidak boleh dibiarkan hidup bebas.

"Apabila anda berada di dalam penjara, anda akan sedar bahawa sudah berada di dalam neraka dan hanya api menanti anda," katanya.

Sebelum ini, Tarrant, 29, mengaku salah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 cubaan bunuh dan satu pertuduhan keganasan di dua dua masjid di Christchurch, pada 15 Mac 2019.

Dia juga tidak menunjukkan sebarang emosi ketika semua ahli keluarga mangsa membaca VIS mereka.

John Milne iaitu bapa kepada Sayyad, 14, yang maut dalam kejadian itu berkata, tregadi itu menyebabkan dia mengalami masalah mental sehingga terpaksa dimasukkan ke dalam wad psikiatari.

"Ada ruang kosong yang besar di hati saya dan ia hanya akan pulih apabila saya bertemu dengan Sayyad di syurga.

"Saya harap boleh bertemu dengan anda juga di sana, Brendon. Jika ada mempunyai kesempatan bertemu dengan anak saya, saya harap anda boleh meminta maaf dengannya," katanya.

Sambil menunjukkan gambar anaknya itu, Mine berkata: "Tolong, ingat namanya (Sayyad)".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 12:45 PM