Pasukan keselamatan memeriksa kawasan serangan bom kereta di Aden, Yaman, hari ini. - Foto AFP
Pasukan keselamatan memeriksa kawasan serangan bom kereta di Aden, Yaman, hari ini. - Foto AFP
Agensi

Aden, Yaman: Serangan bom kereta di sebuah pusat pengambilan rekrut tentera di tengah bandar raya ini menyebabkan 71 terbunuh.

Pegawai keselamatan berkata, penyerang memandu kenderaan yang membawa bahan letupan ketika rekrut tentera berkumpul di sebuah sekolah di utara Aden, pagi ini (waktu tempatan).

Sebaik pintu pagar dibuka untuk membolehkan sebuah trak membawa makanan masuk, penyerang memecut kenderaannya masuk ke dalam kawasan itu dan meletupkannya di kawasan rekrut mendaftarkan diri.

Saksi berkata, sebahagian mangsa tertimbus apabila bumbung bangunan menghempap mereka akibat letupan.

Aden ialah pangkalan sementara kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan tentera Yaman yang disokong Arab Saudi serta sekutu, melatih rekrut muda untuk memerangi pemberontak Syiah Huthi serta kumpulan militan Negara Islam (IS).

Selain 71 yang maut, seramai 98 lagi cedera akibat serangan bom itu yang didakwa Daish dilakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 11:29 PM