FOTO fail menunjukkan seorang lelaki berjalan di Tokyo. FOTO Reuters.
FOTO fail menunjukkan seorang lelaki berjalan di Tokyo. FOTO Reuters.
Reuters

Tokyo: Seorang lelaki berusia 57 tahun di Jepun yang mengancam untuk "menyebarkan" penyakitnya selepas positif Covid-19, meninggal dunia di sebuah hospital hari ini.

Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa kesihatan tempatan di bandar Gamagori, wilayah Aichi, mengarahkan lelaki itu untuk kuarantin dalam rumah selepas hasil ujiannya positif pada 4 Mac.

Pada petang itu, lelaki itu memberitahu keluarganya dia akan "menyebarkan virus" dan menuju ke dua bar.

Bagaimanapun, dia dimasukkan ke hospital pada 5 Mac lalu.

Lelaki itu disiasat kerana menghalang perniagaan selepas kedua-dua bar itu terpaksa menutup operasi.

Seorang wanita yang bekerja di bar berkenaan dilaporkan positif virus berkenaan pada 12 Mac.

Seorang pegawai Aichi berkata, pesakit yang positif akan dimasukkan ke hospital, bagaimanapun sekiranya katil wad tidak mencukupi mereka dikehendaki kuarantin di rumah.

Sebanyak 125 kes Covid-19 dilaporkan di wilayah Aichi iaitu angka tertinggi kedua di antara 47 wilayah di Jepun.

Setakat hari ini, Jepun mencatatkan 29 kematian dan 868 kes positif Covid-19, tidak termasuk kapal persiaran yang dikuarantin di Tokyo bulan lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 5:27 PM