LEE Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
LEE Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia layak ke final buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian apabila dia terpaksa menarik diri sebelum perlawanan pusingan pertama Terbuka Singapura, hari ini.

Mengikuti jadual, pemain ke-10 dunia itu akan turun menentang pilihan ketujuh kejohanan dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting namun faktor kekejangan otot yang menghantui pemain itu membuatkan dirinya terpaksa melupakan perlawanan itu.

Menurut kenyataan rasmi Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ), Zii Jia terpaksa menarik diri selepas doktor menyarankan pemain itu tidak meneruskan permainan apabila dia didapati sudah mengalami kecederaan sejak dua minggu lalu.

Disebabkan itu, dia perlu menjalani proses pemulihan agar kecederaan otot yang dialami itu cepat kembali pulih memandangkan Sukan Olimpik Paris 2024 akan bermula tidak lama lagi.

"Ia adalah satu keputusan yang sukar untuk menarik diri pada kejohanan Terbuka Singapura, tetapi selepas penilaian perubatan di Singapura, Lee Zii Jia dinasihatkan untuk tidak menyertainya kerana kecederaan hamstring yang dialami semasa Terbuka Thailand dan Malaysia Masters.

"Tumpuan untuk program Zii Jia kini akan beralih ke arah pemulihan," katanya.

Untuk rekod, kecederaan itu mula dirasai ketika Masters Malaysia minggu lepas dan Zii Jia terpaksa bertarung di final menentang pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dalam keadaan kurang cergas 100 peratus sebelum tewas 6-21, 22-20, 13-21.

Sebelum itu, pemain kelahiran Kedah itu berjaya muncul juara di Terbuka Thailand dengan mengalahkan wakil Hong Kong, Ng Ka Long 21-11, 21-10.

Melihat prestasi semasa Zii Ji yang berjaya layak ke final dua kali berturut-turut, ia memberi petanda positif buat dirinya dan kem badminton negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:40 PM