ANGGOTA penyelamat memeriksa kawasan nahas di Almaty. FOTO: AFP
ANGGOTA penyelamat memeriksa kawasan nahas di Almaty. FOTO: AFP
AFP

ALMATY: Sekurang-kurangnya 15 terkorban dan puluhan lagi cedera hari ini, apabila sebuah pesawat penumpang yang membawa 100 orang terhempas sejurus berlepas dari bandaraya terbesar di Kazakhstan dan merempuh sebuah rumah, lapor media rasmi negara itu.

Menurut pihak berkuasa lapangan terbang, pesawat Fokker 100 Bek Air hilang dari radar beberapa minit selepas ia berlepas dari lapangan terbang Almaty pada 7.05 pagi (waktu tempatan) dalam perjalanan ke bandar Nur-Sultan, membawa 95 penumpang dan lima anak kapal.

Ia melanggar penghalang konkrit dan kemudian merempuh bangunan dua tingkat. Punca kemalangan itu, yang berlaku berhampiran sempadan bandar timur laut lapangan terbang, tidak diketahui segera.

Pekerja penyelamat dilihat cuba mencapai pintu kokpit hancur manakala kakitangan kecemasan dikerah ke lokasi kemalangan.

Ketua perkhidmatan kesihatan Almaty, Tleukhan Abildayev, berkata 14 orang maut di tempat kejadian manakala seorang wanita muda meninggal dunia di hospital.

“Seramai 66 orang cedera, membabitkan 50 daripadanya dimasukkan ke hospital dengan 12 orang cedera parah,” katanya.

Sembilan kanak-kanak antara yang cedera.

Televisyen rasmi negara, Khabar melaporkan, tiada siapa di dalam rumah itu semasa pesawat terhempas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 4:32 PM