PASUKAN kecemasan di lokasi nahas. FOTO Reuters
PASUKAN kecemasan di lokasi nahas. FOTO Reuters
BERNAMA

SEBUAH pesawat syarikat penerbangan Bek Air terhempas berhampiran lapangan terbang Almaty, Kazakhstan pada Jumaat menyebabkan tujuh orang terbunuh, lapor agensi berita Sputnik.

Menurut Kementerian Pembangunan Industri dan Infrastruktur Kazakhstan pesawat yang dalam perjalanan dari Almaty menuju ibu kota Nur-Sultan itu terhempas sejurus berlepas.

Pesawat malang itu menjunam sebelum merempuh penghadang konkrit lalu terhempas ke atas bangunan dua tingkat pada 7.22 pagi waktu tempatan.

“Operasi menyelamat segera dilancarkan, tidak ada kebakaran berlaku (selepas kemalangan). Penumpang dan anak kapal sedang dipindahkan. Pada masa ini, angka korban seramai tujuh orang,” kata kementerian itu.

Kerajaan Kazakhstan sudah menubuhkan satu suruhanjaya khas untuk menyiasat kejadian itu.

“Anggota suruhanjaya itu kini dalam perjalanan ke lokasi kemalangan. Semua maklumat dan punca (nahas) akan disiasat. Penerbangan membabitkan pesawat model sama akan digantung sehingga siasatan nahas itu selesai,” tambah kementerian itu.

Syarikat Bek Air menggunakan pesawat Fokker-100 untuk penerbangan dari Almaty ke Nur-Sultan.

Menurut lapangan terbang Almaty, ketika kejadian terdapat 95 penumpang dan lima anak kapal dalam pesawat yang terhempas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 2:53 PM