MESEJ bantahan ‘Tembok Lennon’ dibawa turun kumpulan pro Beijing. FOTO AFP
MESEJ bantahan ‘Tembok Lennon’ dibawa turun kumpulan pro Beijing. FOTO AFP
Reuters

HONG KONG: Ribuan penunjuk perasaan pro demokrasi Hong Kong melakukan bantahan selepas kumpulan pro Beijing menurunkan mesej bantahan ‘Tembok Lennon’, hari ini.

Polis memberi amaran akan melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka yang berarak menuju ke pejabat kerajaan Tuen Mun, di barat Wilayah Baru.

Terdahulu, berpuluh penyokong Beijing mengoyak beberapa nota pelekat besar berwarna-warni yang melaungkan demokrasi dan mengecam pembabitan Cina di dalam bekas jajahan British itu.

“Saya lelaki Cina,” kata salah seorang penunjuk perasaan pro Beijing menjerit demi mempertahankan tindakannya ketika berhadapan penyokong pro demokrasi.

Nota bantahan itu dipasang di seluruh pusat kewangan Asia meliputi perhentian bas, pusat beli belah dan sepanjang laluan pejalan kaki.

Bantahan di Hong Kong pada dasarnya bermula tiga bulan lalu, susulan rang undang-undang yang membenarkan penduduk dihantar ke China untuk dibicarakan.

Ahli undang-undang pro Beijing, Junius Ho yang sering mengecam bantahan itu menggesa semua penyokongnya ‘membersihkan’ hampir 100 Tembok Lennon di sekitar bandar terbabit hari ini.

Ia dinamakan sedemikian sempena kewujudan Tembok John Lennon di Prague yang dikuasai komunis pada era 1980an dan dipenuhi lirik kumpulan The Beatles serta mesej kesengsaraan politik.

Bagaimanapun dalam statusnya di Facebook semalam, Ho berkata berkenaan tidak akan dibersihkan atas faktor keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 9:35 PM