PESERTA demonstrasi membanjiri satu lokasi di Hong Kong. FOTO AFP
PESERTA demonstrasi membanjiri satu lokasi di Hong Kong. FOTO AFP
Agensi

Hong Kong: Polis Hong Kong terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan ribuan individu yang melakukan demonstrasi jalanan, hari ini.

Ia dipercayai bagi membantah cadangan Beijing yang mahu melaksanakan undang-undang keselamatan di wilayah semi-autonomi itu.

Demonstrasi itu disertai sekumpulan kecil aktivis dan ahli politik pro-demokrasi yang berarak ke pejabat perhubungan China.

Mereka terbahagi kepada kumpulan kecil dengan setiap satunya lapan orang supaya tidak melanggar peraturan penjarakan sosial.

The Guardian melaporkan, rakaman menunjukkan beberapa penunjuk perasaan melemparkan botol plastik, payung dan juga dahan pokok berhampiran pegawai polis.

Ketegangan meningkat ketika kumpulan itu beramai-beramai berada di Causeway Bay .

Anggota polis yang lengkap dengan senjata segera menaikkan bendera biru sebagai amaran kepada orang ramai untuk bersurai daripada perhimpunan haram berkenaan.

Pasukan polis yang menaiki kenderaan perisai dan membawa meriam air turut dikerahkan ke seluruh bandar termasuk di Pejabat Perhubungan Beijing.

Difahamkan, kumpulan penunjuk perasaan itu berarak dengan aman di Hennessy Road sebelum pasukan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka selepas kira-kira 30 minit.

Pemilik kedai dan bangunan segera menutup pintu premis mereka sejurus keadaan bertambah tegang.

Orang ramai serta pejalan kaki dilihat berlari ke kaki lima sebelum kembali ke jalan utama.

Salah seorang penunjuk perasaan, Chan yang berumur 30 tahun memberitahu Guardian, biarpun berdepan risiko ditangkap, dia tetap akan keluar untuk turut serta dalam bantahan.

Perhimpunan itu dirancang sejak minggu lalu berkaitan tidak puas hati terhadap undang-undang bakal mengenakan hukuman kepada mereka yang mempersenda lagu kebangsaan.

Draf undang-undang yang sedang dipertimbangkan oleh Kongres Rakyat Nasional (NPC) itu juga melarang tindakan penindasan, pemisahan, campur tangan asing dan keganasan terhadap pemerintah pusat.

Ia juga membolehkan Beijing menggunakan agensi keselamatannya sendiri di Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 3:13 PM