BANGLO mewah berhampiran Taman Botani Singapura yang dibeli Dyson. - AFP
BANGLO mewah berhampiran Taman Botani Singapura yang dibeli Dyson. - AFP
AFP

SINGAPURA: Bilionair Britain, James Dyson membeli satu lagi hartanah mewah di Singapura berharga AS$32.8 juta (RM135 juta), banglo mewah dilengkapi kolam dan air terjun buatan.

Menurut AFP yang memetik laporan media tempatan, pencipta dan pemilik syarikat peralatan elektrik terkenal itu membeli hartanah mewah terbabit beberapa minggu selepas membeli rumah emper paling mahal di bandar raya itu.

Syarikatnya yang terkenal menghasil dan menjual penyedut hampa gas tanpa beg, pengering tangan dan kipas itu baru mengumumkan pemindahan ibu pejabat dari England ke bandar raya terbabit untuk mendekati pasaran Asia.

Syarikat Dyson turut merancang mengeluarkan kereta elektrik sebagai sebahagian daripada rancangan melebarkan sayap selepas Britain memutuskan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 2016.

Bilionair penyokong kuat Brexit itu membeli banglo mewah menghadap Taman Botani diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Jawatankuasa Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut laporan akhbar Straits Times, hartanah berstatus pegangan bebas dengan keluasan lebih 4,572 meter persegi itu mempunyai tangga berlingkar, taman landskap serta kolam renang.

Akhbar berkenaan melaporkan, warga asing yang ingin membeli kediaman seumpama itu mesti melakukan sumbangan ekonomi yang besar kepada Singapura.

Dyson mendapat perhatian media antarabangsa awal bulan ini, apabila membeli rumah emper dengan keluasan 6,400 meter persegi dengan harga hampir AS$54 juta (RM222 juta).

Rumah emper paling besar dan mahal di Singapura itu mempunyai taman persendirian, stor menyimpan 600 botol arak dan perkhidmatan butler setiap masa.

Jurucakapnya mengesahkan pembelian mewah itu memandangkan keputusan syarikat memindahkan ibu pejabatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 12:14 PM