NG bersama model projek kondominum mewah Setia Sky Vista.
NG bersama model projek kondominum mewah Setia Sky Vista.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Pemaju hartanah SP Setia Berhad menawarkan pakej istimewa kepada pembeli menerusi projek pembinaan 426 unit kondominium, Setia Sky Vista bernilai RM320 juta di Relau yang akan dilancarkan secara rasmi pada Tahun Baru Cina tahun depan.

Projek kediaman itu menawarkan panorama indah dan menarik dilengkapi dua menara setinggi 27 tingkat dan 32 tingkat yang dijual pada harga RM552,000 ke atas dengan saiz keluasan bermula dari 910 kaki persegi hingga 1,479 kaki persegi.

Pengurus Besarnya, Ng Han Seong berkata, projek terbaru Setia Sky Vista itu cukup istimewa kerana memiliki 11 reka bentuk menarik dan ia dibina secara eksklusif bagi memenuhi cita rasa pembeli sama ada ingin memiliki kediaman dua bilik atau tiga bilik.

Beliau berkata, penginapan dikelilingi pemandangan menarik serta mewah itu sesuai untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dan keluarga yang mahu merasai keselesaan rumah impian mereka dengan dua pilihan konsep penginapan iaitu sama ada semi-D atau banglo.

“Setiap unit rumah memiliki pilihan pemandangan sama ada berlatarkan pemandangan indah sekitar bandar atau kawasan bukit yang hijau manakala Setia Sky Vista turut memiliki jambatan yang dibina khas di tingkat 18 yang menghubungkan kedua-dua menara berkenaan,” katanya pada majlis prapelancaran kondominium itu di Galeri SP Setia, Relau, semalam.

Sempena prapelancaran itu, pemaju menawarkan pelbagai tawaran dan diskaun menarik termasuk satu peratus untuk tempahan dan yuran jualan serta belian selain rebat.

Ng berkata, Setia Sky Vista dilengkapi kawalan keselamatan 24 jam, gimnasium, tiga kolam renang dihiasi air terjun yang dibina khas termasuk kolam untuk kanak-kanak, gelanggang bola keranjang, jakuzi, taman permainan kanak-kanak, dek yoga, sauna, bilik rekreasi dan bilik bacaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:05 AM