PEMBANGUNAN pelbagai aspek.
PEMBANGUNAN pelbagai aspek.
Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya City Motors Group, pemaju hartanah tempatan menerima sambutan luar biasa bagi projek bercampurnya, Alfa Bangsar apabila 90 peratus unit berjaya dijual.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Terence Chia berkata, berikutan sambutan itu, pihaknya teruja menawarkan baki unit yang ada bagi projek berprestij ini sebagai maklum balas kepada permintaan yang menggalakkan.

Katanya, hanya 17 unit lagi tersedia untuk dimiliki pembeli yang mencari kediaman mewah di lokasi strategik, Jalan Maarof, Bangsar.

"Alfa Bangsar, pembangunan ikonik pegangan bebas di lokasi utama Kuala Lumpur adalah salah satu usaha terbaru dan pertama kumpulan bagi segmen hartanah mewah serta premium.

"Sambil kami meneruskan usaha pembinaan projek ini, kami komited untuk memberikan kualiti hidup terbaik kepada pelanggan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Projek mewah ini dijangka siap menjelang suku kedua 2024 membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM450 juta," katanya kepada media di Galeri Jualan Alfa Bangsar, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pembangunan Perniagaannya, Foo Yit Loong.

Projek berkenaan adalah pembangunan pelbagai aspek, mempunyai podium lapan tingkat yang menampilkan tempat letak kereta, hotel dan ruang komersial seluas 35,000 kaki persegi.

Unit hotel terbabit bakal diuruskan InterContinental Hotels Group, merangkumi aras sembilan hingga 18 dan menawarkan 220 bilik serta pelbagai kemudahan seperti kolam renang, taman, dewan majlis, bilik mesyuarat dan gimnasium.

Projek mewah ini juga merangkumi 178 unit pangsapuri servis di aras 19 hingga 42 dengan lima jenis saiz pilihan bermula dari 570 sehingga 997 kaki persegi untuk dipilih pada harga serendah RM700,000.

Penghuni pangsapuri servisnya akan menikmati pelbagai kemudahan, termasuk 'sky park' di aras 38, bilik serba guna, pusat kecergasan, kolam renang, kawasan barbeku dan taman permainan kanak-kanak selain kelengkapan kediaman seperti mesin basuh, penghawa dingin, kabinet dapur dan pelbagai lagi.

Sementara itu, Chia berkata, pihaknya yakin baki unit yang tinggal itu dapat dijual sepenuhnya sebelum projek pembinaan siap seperti dijadualkan.

Selama bertahun syarikat itu beralih kepada pembangunan hartanah, City Motors berjaya menyiapkan projek pembangunan terkenal bukan saja di Malaysia, malah Singapura dan Hong Kong.

Syarikat juga bakal membina projek premium membabitkan kediaman dan komersial di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Jelutong, Pulau Pinang menjelang tahun depan.

"GDV untuk pembangunan di Bukit Bintang itu kelak dianggarkan mencecah RM1 bilion kerana membabitkan segmen mewah, manakala di Jelutong (segmen sederhana) dianggarkan lebih kurang RM200 juta.

"Setakat ini, kami mempunyai keseluruhan 24.28 hektar bank tanah, antaranya di Cheras dan kumpulan masih belum mempunyai perancangan untuk melaksanakan sebarang pembangunan di situ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 7:01 AM