Kuala Lumpur: UDA Holdings Berhad (UDA) menyasarkan jualan bernilai RM136.2 juta sempena Karnival Jualan Hartanah UDA U4RIA : UDA Gallery of Home 2014.

Ketua Kumpulan Operasi Harta Datuk Mohamed Marzuk Mohamed Basir berkata, sempena karnival itu, sebanyak 185 unit daripada pelbagai jenis hartanah ditawarkan dengan harga tawaran serendah RM320,000.

“Promosi istimewa ini akan berlanjutan sehingga akhir Disember ini dan mereka yang berminat boleh berkunjung ke galeri UDA kerana pelbagai hartanah ditawarkan antaranya rumah satu tingkat, banglo berkembar, superlink, kondominium tinggi berkepadatan rendah hingga ke pembangunan komersial.

“Pelanggan akan dapat membeli rumah selesa dengan harga tawaran serendah RM320,000 hingga ke kediaman mewah dengan harga bermula RM2.5 juta,” katanya ditemui selepas pelancaran Kempen Karnival Hartanah UDA, di Lake valley, Bandar Tun Hussein, Onn di sini.

Karnival U4RIA itu turut diadakan serentak di setiap anak syarikat UDA Holdings di seluruh negara.

Sementara itu, mengulas mengenai projek pembangunan hartanah Legasi Residen Kampong Bharu, Mohamed Marzuk berkata, kerja pembersihan sudah dijalankan dan projek pembangunan bercampur itu dijangka bermula September depan.

Beliau berkata, UDA menjangkakan 639 unit apartmen, 96 unit peruncitan serta ruang pejabat dapat dilancarkan sepenuhnya menjelang 2016.

Projek yang dibangunkan di bekas tapak penjaja seluas 2.858 hektar itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM435 juta.

Bagi unit apartmen, ia akan dijual pada harga antara RM240,000 dan tidak melebihi RM500,000 seunit dengan keluasan bermula daripada 800 kaki persegi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:36 PM