PENDUDUK berdoa sebelum mayat  mangsa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica 1995 dikebumikan. FOTO Agensi
PENDUDUK berdoa sebelum mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica 1995 dikebumikan. FOTO Agensi
Agensi

AMSTERDAM: Mahkamah Agung Belanda mengekalkan keputusan pasukan tentera negara itu bertanggungjawab dalam kejadian 350 lelaki Islam dibunuh tentera Serbia ketika tragedi pembunuhan beramai-ramai Srebrenica pada 1995.

Sabtu lalu, mahkamah tertinggi Belanda menyatakan tentera Belanda dalam pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melakukan kesalahan kerana mengeluarkan kumpulan lelaki terbabit dari pangkalan tentera di Srebrenica pada 13 Julai 1995 walaupun tahu mereka berkemungkinan besar akan dibunuh tentera Serbia.

Keputusan Mahkamah Agung itu adalah yang terbaru dalam perang perundangan oleh kumpulan saudara-mara dikenali sebagai ‘Ibu Srebrenica’ yang mendakwa kerajaan Belanda bertanggungjawab terhadap kematian ahli keluarga mereka dalam pembunuhan beramai-ramai terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Kumpulan terbabit antara 5,000 penduduk Islam Srebrenica yang berlindung dalam pangkalan tentera pengaman Belanda ketika wilayah itu diserang tentera Serbia diketuai Jeneral Ratko Mladic.

Mladic didapati bersalah oleh Tribunal Jenayah Perang PBB pada 2017 kerana mengetuai pembunuhan beramai-ramai 8,000 penduduk Islam, termasuk kanak-kanak.

Menurut Mahkamah Agung itu, saudara-mara mangsa berhak 100 peratus untuk membuat tuntutan dalam bentuk kewangan daripada kerajaan Belanda kerana mahkamah menganggarkan mangsa mempunyai 10 peratus peluang untuk selamat jika dibenarkan terus berada dalam pangkalan berkenaan.

Keputusan itu menjadi penanda aras bahawa kerajaan sesebuah negara yang menyertai misi pengaman PBB boleh dipertanggungjawab jika gagal melindungi orang awam.

Selepas menawan Srebrenica, tentera Serbia mengasingkan penduduk Islam mengikut jantina dan membawa lelaki ke satu tempat sebelum dibunuh beramai-ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 7:17 AM