PULUHAN ribu warga Bosnia dan masyarakat antarabangsa berhimpun dalam memperingati peristiwa hitam detik 11 Julai 1995.
PULUHAN ribu warga Bosnia dan masyarakat antarabangsa berhimpun dalam memperingati peristiwa hitam detik 11 Julai 1995.
FOTO mangsa tragedi  Srebrenica dipamerkan kepada orang awam.
FOTO mangsa tragedi Srebrenica dipamerkan kepada orang awam.
WARGA Bosnia melihat nama mangsa pada tugu peringatan  Srebrenica.
WARGA Bosnia melihat nama mangsa pada tugu peringatan Srebrenica.
Shuhada Mansor

Walaupun sudah 22 tahun berlalu peristiwa Srebrenica, tragedi pembunuhan beramai-ramai masyarakat Islam Bosnia oleh tentera Chetnik (Serb Bosnia) kesedihannya masih terasa sehingga ke hari ini.

Rasa sayu dan tangisan menyelubungi tanah perkuburan yang juga pusat memorial di Potocari, wilayah Srebrenica pada hari memperingati peristiwa penghapusan etnik itu, 11 Julai lalu.

Lebih 15,000 masyarakat Islam Bosnia dan juga dari seluruh pelosok dunia datang berkumpul bagi memberi sokongan kepada keluarga yang terkesan akibat tragedi itu.

Bendera pelbagai negara antaranya Turki, Iran, Jerman dan Malaysia dikibarkan sebagai tanpa simpati sekali gus membuktikan umat Islam bersatu hati.

Malah, di England, Toronto dan beberapa lokasi lain, komuniti Islam lain turut sama-sama berkabung memperingati peristiwa berkenaan.

Pada hari itu juga, solat jenazah turut diadakan bagi 71 mayat baru yang ditemui.

Difahamkan, setiap tahun akan ada tulang atau bahagian tubuh mangsa bunuh ditemui di lokasi berbeza. Sehingga kini, dianggarkan kira-kira 1,000 mayat masih hilang.

Perang Bosnia berlarutan hingga empat tahun berakhir 1995 merekodkan lebih 100,000 orang kehilangan nyawa.

Namun, peristiwa Srebrenica adalah tragedi berbeza yang mana seramai 8,373 lelaki Islam Bosnia dibunuh secara kejam dalam masa kurang dua bulan bermula 11 Julai 1995.

Hari pertama hingga kelima dikatakan paling ‘gila’ yang mana dianggarkan 8,000 lelaki Bosnia dibunuh kurang dari lima hari.

Mereka ini yang pada awalnya ditempatkan dalam gudang kawalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diklasifikasikan sebagai Zon Selamat di Potocari sebelum lokasi itu diserang tentera Chetnik meskipun berada bawah kawalan Gerakan Pertahanan PBB (UNprofor) dinamakan Dutchbat.

Tahanan lelaki dipisahkan daripada keluarga dan bukan hanya lelaki dewasa, malah remaja semuda 13 tahun turut diasingkan dan dibunuh ketika dalam perjalanan ke depo tahanan.

Mereka dibunuh secara kejam dengan ditembak mati, dikerat anggota badan dan ada antara mereka ditanam hidup hidup. Wanita pula dirogol sehingga ada yang sanggup menggantung diri akibat tertekan.

Melihat tangisan keluarga mangsa pada Hari Srebrenica, tersentuh hati penulis membayangkan bagaimana mereka menjalani kehidupan tanpa datuk, ayah, anak, abang atau adik. Lebih menyayat hati menyaksikan pengebumian mayat baru yang ada antara ahli keluarga sudah tua hampir pitam meratapi peristiwa ini.

Meskipun bahang cuaca panas mencecah 36 darjah Celsius, tiada seorang pun berganjak sehingga majlis pengebumian selesai.

Solat jenazah diaminkan puluhan ribu orang dengan bacaan doa penuh sebak oleh imam diiringi tangisan sayu kaum keluarga dan mereka yang terkesan. Ratusan kuntum bunga disusun di tugu nama mangsa.

Matlamat mereka (tentera Chetnik) jelas iaitu menghapuskan penganut Islam di Bosnia namun kini, Islam teguh berkembang malah semakin kuat pegangan mereka kepada Sang Pencipta walaupun diuji dengan dugaan maha hebat.

Pembunuhan terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua ini menjadikan tentera Republik Srpska bawah arahan Jeneral Ratko Mladic antara yang terkejam dalam sejarah.

Semoga peristiwa Srebrenica menjadi yang terakhir dan tidak berlaku lagi walau di mana jua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 6:53 AM