PAKAR forensik mencari sisa mayat manusia ketika penggalian semula kubur besar-besaran di Kozluk.
PAKAR forensik mencari sisa mayat manusia ketika penggalian semula kubur besar-besaran di Kozluk.
AFP

Sarajevo: Bosnia semalam mengumumkan penahanan seorang bekas komander polis etnik Serbia kerana pembabitannya dalam pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995, selain mendakwa seorang lagi bekas pegawai tentera bagi kejadian sama.

Bekas komander polis, Milan Bogdanovic ditahan kerana disyaki terbabit dalam ‘usahasama jenayah’ yang mengakibatkan pembunuhan 8,000 lelaki dewasa serta kanak-kanak, selain melihat pengusiran 40,000 orang awam beragama Islam dari Srebrenica, kata kenyataan pendakwa jenayah perang.

Ketika itu, Bogdanovic, 65, mengetuai unit polis yang ditugaskan menahan orang Islam yang melarikan diri dari Srebrenica untuk mengelak ditangkap tentera Serbia.

Menurut kenyataan itu, kumpulan berkenaan yang pertama dihimpunkan di sebuah stadium di Nova Kasaba berhampiran Srebrenica.

“Seramai 500 kemudian diserahkan kepada polis tentera untuk dibawa ke tempat pembunuhan,” kata kenyataan itu.

Anggota unit Bogdanovic juga ‘mengambil bahagian membunuh puluhan tahanan yang dimasukkan dalam kubur besar-besaran.’

Sementara itu, Srecko Acimovic didakwa terbabit dalam pembunuhan lebih seribu mangsa di Srebrenica.

Acimovic, 48, selama ini dianggap antara pegawai tentera Serbia Bosnia yang enggan mengambil bahagian dalam pembunuhan kejam itu, dianggap paling teruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Dia yang pernah memimpin Batalion Kedua Briged Zvornik Serbia Bosnia, beberapa kali dipanggil menghadap tribunal jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi keterangan terhadap pegawai tentera Serbia, termasuk ketua tentera Ratko Mladic.

Acimovic yang ditahan pada 1 Disember lalu didakwa terbabit dalam pembunuhan ‘sekurang-kurangnya 1,040 lelaki dewasa dan kanak-kanak.’

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 9:01 AM