PENYOKONG Red Star mempamerkan kain rentang yang menyokong Mladic ketika menentang BATE Borisov. -Foto Agensi
PENYOKONG Red Star mempamerkan kain rentang yang menyokong Mladic ketika menentang BATE Borisov. -Foto Agensi
AFP

PARIS: Red Star Belgrade terpaksa menentang CSKA Moscow dalam aksi Liga Europa pada Februari di stadium sendiri tanpa penonton sebagai hukuman kepada penyokongnya yang memberikan sokongan kepada penjenayah perang Ratko Mladic, umum UEFA awal pagi tadi.

Penyokong Red Star bersorak dan mempamerkan kain rentang yang menyokong Mladic ketika aksi kelab Serbia itu menentang BATE Borisov di Belarus pada November, beberapa hari selepas tribunal jenayah perang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada ketua tentera Serbia atas jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di Bosnia yang meragut nyawa lebih 100,000 orang dari 1992 hingga 1995.

“Badan Kawalan, Etika dan Disipilin UEFA memutuskan untuk memerintahkan FK Crvena Zvezda (Red Star) untuk beraksi sebagai tuan rumah dalam perlawanan UEFA dengan stadium kosong kerana tindakan penyokongnya yang menunjukkan unsur perkauman dan diskriminasi,” kata UEFA menerusi laman web mereka.

Red Star turut didenda 50,000 euro (RM240,445).

Ramai dalam kalangan peminat Red Star dan pesaing mereka di Belgrade Partizan menyertai kumpulan separa tentera ultra-nasionalis ketika konflik Balkan yang meletus sejak keruntuhan Yugoslavia pada 1990-an dan ramai penduduk Serbia masih menganggap Mladic sebagai wira negara.

Pengurus besar Red Star Zvezdan Terzic berkata kelab itu akan membuat rayuan.

“Kami terkejut dengan keputusan UEFA dan berharap tidak beraksi di stadium kosong,” kata Terzic kepada agensi berita Tanjug.

Juara Serbia Partizan diperintahkan membayar 30,000 euro (RM144,267) sebagai hukuman kepada peminat yang mencerobohi padang dan menyalakan mercun ketika menewaskan Young Boys 2-1 dalam aksi Liga Europa di Bern, Switzerland pada November.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 12:25 PM