MANGKUK yang bernilai RM17.8 juta. FOTO Agensi
MANGKUK yang bernilai RM17.8 juta. FOTO Agensi
Agensi

ZURICH: Sebuah keluarga di Switzerland yang menggunakan mangkuk China sebagai bekas simpanan bola tenis sebenarnya bernilai 3.8 juta euro (RM17.8 juta).

Metro.co.uk melaporkan, perkara itu dikenal pasti oleh firma lelongan tempatan, Koller Auctions ketika membuat penilaian ke beberapa barangan lama di kediaman keluarga berkenaan, sebelum mereka menyedari nilai tinggi pada mangkuk berkenaan.

Ketua Hubungan Media dan Pemasaran Koller Auctions, Karl Green, berkata mangkuk itu disimpan oleh sebuah keluarga Jerman yang kini menetap di Switzerland.

"Mereka menyimpannya selama 100 tahun selepas moyang mereka membelinya dari China," katanya.

Mangkuk itu bercirikan tangkai ukiran burung phoenix dan digunakan sebagai tempat membakar colok. Artifak gangsa itu dibuat untuk Maharaja China pada 300 tahun lalu.

"Pada 1960-an, keluarga berkenaan pernah menawarkannya kepada muzium di Berlin tetapi juga ditolak kerana dianggap bukan benda penting ketika itu.

"Mereka juga pernah menawarkan mangkuk itu kepada sebuah firma lelongan di Britain tetapi ia dianggap palsu dan akhirnya disimpan kembali di rumah," kata Green.

Artifak itu mendapat sambutan hangat apabila dilelong pada harga 3.8 juta euro (RM17.8 juta) selepas di pamerkan di Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 1:31 PM