SEORANG pengunjung melihat set lukisan berus dakwat hasil karya  pelukis terkenal China, Qi Baishi. - Agensi
SEORANG pengunjung melihat set lukisan berus dakwat hasil karya pelukis terkenal China, Qi Baishi. - Agensi

Beijing: Satu set lukisan menggunakan berus dakwat hasil karya pelukis terkenal China, Qi Baishi berjaya dijual pada harga AS$144 juta (RM587 juta).

Menurut rumah lelongan, Beijing Poly International Auction, harga itu berjaya memecahkan rekod jualan bagi lukisan yang dihasilkan pelukis dari negara berkenaan.

“Karya dalam 12 panel itu dihasilkan pada 1925 dan ia berjaya dijual dalam satu sesi lelongan semalam.

“Baishi yang meninggal dunia pada 1957 ketika berusia 93 tahun memiliki kemahiran melukis dengan belajar sendiri.

“Dia adalah satu-satunya pelukis kelahiran China yang setiap karyanya berjaya mencecah harga jualan AS$100 juta (RM408 juta),” kata Beijing Poly International Auction dalam satu kenyataan.

Lukisan Baishi bertajuk ‘Twelve Landscape Screens’ memaparkan imej gunung-ganang, perkampungan, pokok bunga yang sedang mekar dihasil menggunakan warna biru lembut, kelabu, coklat dan pelbagai tona merah jambu.

Semua panel itu berukuran 1.8 meter x 47 sentimeter setiap satu dan identiti pembelinya tidak didedahkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 6:19 AM