STEVE Jobs memperkenalkan iPhone pada Persidangan Apple di San Francisco pada Januari 2007. FOTO Tony Avelar/ AFP
STEVE Jobs memperkenalkan iPhone pada Persidangan Apple di San Francisco pada Januari 2007. FOTO Tony Avelar/ AFP
Agensi

Washington: iPhone generasi pertama yang kotaknya masih belum dibuka untuk dijual pada acara lelongan Amerika Syarikat dengan nilai lebih AS$50,000 (RM212,900).

Telefon yang dikeluarkan pada 2007 dengan kamera 2 megapiksel dan storan 8GB itu diberikan kepada Karen Green sebagai hadiah apabila dia mendapat pekerjaan baharu, lapor Business Insider.

Bagaimanapun, Green sudah mempunyai telefon baharu apatah lagi telefon itu tidak serasi dengan rangkaian selularnya sedia ada.

Dia memutuskan menyimpan iPhone itu tanpa membuka balutannya di atas rak selama bertahun-tahun sebelum Green mendengar iPhone generasi pertama dari 2007 berjaya dijual pada harga AS$39,339.60 (RM167,508.02), Oktober lalu.

Pelukis tatu kosmetik itu menghubungi LCG Auctions, rumah lelongan yang mengendalikan penjualan itu yang menerima jumlah panggilan ramai daripada pemilik iPhone lama.

Green berkata, dia memutuskan untuk menjual iPhone sekarang untuk membiayai studio tatu kosmetik miliknya yang masih baharu di New Jersey.

"Satu-satunya sebab saya menjual telefon itu adalah kerana saya perlu membangunkan perniagaan ini," katanya.

Pada 2019, Green muncul dalam rancangan televisyen, Doctor & the Diva dan penilai barangan antik, Lori Verderame menilai iPhone miliknya itu pada harga AS$5,000 (RM21,290).

Lelongan LCG meletakkan anggaran harga AS$50,000 dan ke atas pada telefon itu.

Lelongan dibuka mulai Khamis dan berakhir pada 19 Februari ini.

iPhone generasi pertama dengan memori 4GB tersedia dengan nilai AS$499 (RM2,124.74) atau memori 8GB, AS$599 (RM2,550.54).

Dalam dekad selepas pelancarannya, Apple berjaya menjual 1.2 bilion iPhone, menguasai pasaran telefon pintar lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 12:33 PM