GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

ARIZONA: Seorang kanak-kanak pendatang dari India berusia enam tahun dilaporkan mati akibat strok haba selepas ditinggalkan ibunya yang mahu mencari air bersama beberapa pendatang lain di padang pasir di Arizona, Amerika Syarikat.

Reuters melaporkan, kanak-kanak itu, Gurupreet Kaur ditemui oleh Pasukan Peronda Sempadan di Lukeville pada Rabu lalu ketika suhu mencecah 42 darjah Celcius.

Mangsa dan ibunya adalah di antara kumpulan rakyat India yang terdiri daripada lima orang dan mereka diturunkan oleh penyeludup di kawasan terpencil pagi Selasa.

Tidak lama selepas berjalan kaki, ibunya dan wanita lain ingin mencari air lalu meninggalkan mangsa untuk dijaga wanita lain bersama anaknya.

“Selepas mereka mencari air, kanak-kanak itu meninggal dunia,” kata ejen peronda sempadan, Jesus Vasavilbaso.

Ia adalah kematian kedua di selatan kawasan padang pasir itu yang membabitkan anak pendatang dan suhu panas itu mengancam nyawa keluarga pendatang dari Amerika Tengah yang cuba masuk menerusi sempadan AS dan Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 1:56 PM