KOKAIN yang berjaya dirampas CBP. FOTO Agensi
KOKAIN yang berjaya dirampas CBP. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Pegawai di sempadan Amerika Syarikat (AS) dan Mexico menemukan penghantaran besar kokain dengan menggunakan taktik menyembunyikan barang larangan itu dalam tisu basah lap bayi.

Agensi Kastam dan Peronda Sempadan (CBP) AS melakukan rampasan terbabit baru-baru ini ketika seorang pemandu cuba menyeberangi Jambatan Solidariti Laredo-Colombia di Texas.

Metro UK melaporkan, jambatan itu merentangi Sungai Rio Grande menghubungkan Laredo ke bandar Mexico di Colombia, Nueva Leon.

Trak itu ditahan untuk pemeriksaan kedua selepas didapati memandu dengan senarai kargo dari 2016, kata CBP.

Selepas CBP memeriksa kargo, mereka menemukan dadah yang tersembunyi di dalam bungkusan tisu basah lap bayi.

Sebanyak 1,935 bungkusan ditemukan mengandungi 695 kilogram kokain.

"Pegawai yang ditugaskan untuk memeriksa kemudahan kargo CBP memastikan keselamatan sempadan yang berkesan dengan menghalang dan menentang aliran dadah yang disyaki memasuki negara," kata Pengarah Pelabuhan Alberto Flores.

Katanya, rampasan itu adalah contoh utama pengurusan keselamatan sempadan dan bagaimana ia membantu menghalang dadah berbahaya daripada sampai ke komuniti.

"Penghantaran itu masih dalam siasatan pihak berkuasa dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. Ini jauh daripada satu-satunya percubaan penyeludupan dadah yang digagalkan dalam beberapa hari lalu," katanya.

Pegawai di El Paso menghentikan empat percubaan penyeludupan berbeza pada hujung minggu di pelabuhan masuk Paso El Norte, Ysleta dan Santa Teresa.

Penyeludup itu membawa pelbagai jenis dadah, termasuk fentanyl dan methamphetamine.

Di Jambatan Antarabangsa Brownsville-Matamoros, pegawai menahan seorang pemandu yang membawa hampir 4.5 kilogram kokain dalam pelbagai bungkusan.

Nilai rampasan dadah itu dianggarkan kira-kira $71,400 (kira-kira RM320,371).

Bahagian Udara dan Laut CBP melaporkan mereka juga berjaya merampas lebih 77 tan dadah pada pertengahan tahun ini termasuk 2.2 tan kokain.

CBP juga menjadi berita akhir-akhir ini kerana peningkatan dalam percubaan melintasi sempadan berbahaya oleh pendatang.

Sebelum ini, pegawai CBP menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia empat bulan dan seorang kanak-kanak yang ditinggalkan terbiar di padang pasir Arizona.

Pada Jun, 53 pendatang ditemui mati dalam treler traktor untuk menyeberangi sempadan AS-Mexico dalam sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 2:45 PM