LAKARAN 'Little Miss Nobody' yang identitinya hanya dikenalpasti selepas 62 tahun. FOTO Agensi
LAKARAN 'Little Miss Nobody' yang identitinya hanya dikenalpasti selepas 62 tahun. FOTO Agensi
Agensi

Arizona: Selama 62 tahun, mayat kanak-kanak perempuan ditemukan ditanam di padang pasir Sand Creek Wash berhampiran Kongres, di sini, pada 1960 dikenali sebagai 'Little Miss Nobody'.

Namun, Selasa lalu, identiti kanak-kanak itu akhirnya dikenal pasti sebagai Sharon Lee Gallegos, yang diculik dari rumahnya di New Mexico.

Independent melaporkan, ketika kejadian, kanak-kanak yang dipercayai berusia antara tiga hingga enam tahun dikatakan sudah dua minggu ditanam sebelum ditemui.

Pada masa itu, kematian Sharon diklasifikasikan sebagai kes bunuh susulan penemuan tapak kasut dewasa berhampiran lokasi mayat ditemui.

Pengebumian kanak-kanak itu dilakukan komuniti berhampiran Prescott, kerana pihak berkuasa tidak dapat menentukan identitinya.

"Gadis kecil yang identitinya tidak dikenali itu berjaya memenangi hati penduduk di daerah Yavapai pada 1960 serta sentiasa diingati anggota Pejabat Sherif daerah Yavapai (YCSO) serta pasangannya layak diberi nama semula dan tidak perlu lagi dipanggil 'Little Miss Nobody'," kata pejabat sherif dalam satu kenyataan.

Menurut jabatan sherif, identiti Sharon ditentukan menggunakan analisis DNA yang dijalankan sebuah makmal berpangkalan di Texas.

Pada 2018, mayat Sharon digali semula supaya DNA dapat dianalisis.

Bagaimanapun, ketika itu ujian DNA tidak cukup maju untuk mengenalpasti identitinya.

Namun, dengan kemajuan terkini dalam teknologi DNA, Sharon akhirnya dapat dikenal pasti.

Ahli keluarga Sharon yang masih tinggal membantu mengenal pasti mayat kanak-kanak itu dengan memberikan sampel DNA.

Othram, makmal yang berpangkalan di Texas yang menganalisis DNA berkenaan mengesahkan mayat itu milik Sharon, serta berusia empat tahun ketika diculik dan dibunuh.

Pegawai berkata, mereka masih berharap untuk mengenal pasti siapa yang menculiknya, dan apa yang berlaku sepanjang tempoh 10 hari dia hilang sebelum mayatnya ditemui.

Menurut The Charley Project, Sharon diculik dari belakang rumah neneknya di Alamogordo, New Mexico, pada 21 Julai 1960.

Menurut dua kanak-kanak yang bersama Sharon ketika itu, sebuah 'kereta hijau tua kotor' dipandu seorang lelaki dan wanita menghampiri kumpulan itu dan menawarkan gula-gula

serta pakaian kepada Sharon jika dia masuk ke kereta itu.

Dia dilaporkan menolak, namun pasangan itu mengheret Sharon ke dalam kereta dan melarikan diri.

Laporan mengenai penculikan dibuat serta merta, namun polis gagal mengesan lokasi pasangan itu.

"Penculik lelaki digambarkan sebagai seorang lelaki Kaukasia berkulit putih dan kurus dengan hidung panjang serta rambut lurus berwarna kekuningan.

"Sementara, wanita itu digambarkan sebagai pendek dan gemuk dengan rambut perang kotor dan bercermin mata... berusia dalam lingkungan 30-an," menurut The Charley Project.

"Saksi melaporkan seorang wanita yang sepadan dengan keterangan penculik wanita Sharon pernah dilihat di kawasan kejiranan, bertanyakan soalan mengenai Sharon, ibunya dan rumah mereka," katanya.

Sementara anak saudara Sharon, Ray Chavez berkata, keluarganya membesar dengan kisah Sharon, malah dia turut membuat kertas kajian mengenai kehilangan ibu saudaranya ketika di sekolah menengah.

Chavez turut merakam ucapan terima kasih kepada pejabat sherif yang tidak pernah berputus asa cuba menyelesaikan kes itu selepas enam dekad.

"Kami sangat gembira," katanya selepas mengetahui kebenaran identiti ibu saudaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 1:22 PM