Gambar hiasan
Gambar hiasan
AFP

NEW YORK: Penularan wabak campak memaksa sebuah daerah di New York, Amerika Syarikat mengisytiharkan darurat dan mengharamkan kanak-kanak yang tidak diberi suntikan vaksin berada di tempat awam untuk menghalangnya terus merebak.

Darurat 30 hari yang diumumkan oleh pihak berkuasa daerah Rockland itu adalah langkah paling drastik dilaksanakan di negara berkenaan selepas berlaku penularan membimbangkan yang didakwa berpunca daripada pergerakan golongan anti-vaksin.

“Kita harus menggunakan kuasa yang ada dan berusaha sedaya upaya bagi menghalangnya tersebar.

“Tindakan ini juga untuk melindungi kesihatan mereka yang tidak boleh diberi suntikan vaksin atas alasan perubatan serta kanak-kanak yang terlalu muda untuk diberi suntikan,” kata eksekutif daerah, Ed Day.

Daerah yang mempunyai lebih 300,000 penduduk itu sebelum ini diisytiharkan bebas daripada wabak campak pada tahun 2000 namun kini dilaporkan merekodkan sebanyak 153 kes.

Day berkata, walaupun kempen suntikan vaksin sudah dilaksanakan secara besar-besaran sejak penularan berlaku sejak Oktober lalu namun hanya 27 peratus daripada kanak-kanak berusia setahun hingga 18 tahun tidak diberi suntikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 11:15 AM