WARGA asing yang ditahan kerana memalsukan penculikan . FOTO Agensi
WARGA asing yang ditahan kerana memalsukan penculikan . FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Akibat kehabisan wang, seorang lelaki yang bercuti di Pattaya, Thailand cuba mendapatkan bantuan keluarganya dengan meminta rakannya menyamar sebagai penculik.

Oddity Central melaporkan, Ian Robbie Day, 48, dari Portsmouth, England, memalsukan penculikannya dan meminta wang tebusan kepada keluarganya bagi menampung perbelanjaan di bandar itu.

Day meyakinkan keluarganya dengan meminta rakan menumbuk mukanya dan membiarkannya lebam supaya gambar yang dihantar kepada keluarganya kelihatan asli.

Beberapa rakannya juga menyamar sebagai penculik yang dirakam di dalam sekeping gambar, untuk menjadikan kisah penculikan itu boleh dipercayai.

Percubaan Day menjadi kerana selepas melihat gambar berkenaan menyebabkan keluarganya panik dan melaporkan kepada polis mengenai kes penculikan itu.

Sementara Day tidak menyangka Polis Antarabangsa (Interpol) akan terbabit dalam kes 'penculikannya' hingga dapat menjejakinya dengan cepat di sebuah hotel dekat Pattaya.

Dalam satu serbuan pada 26 Januari lalu, polis menemui Day sedang berpesta dengan individu dikatakan penculik.

Day dilaporkan berada di tengah-tengah pesta dadah bersama tiga lagi warga asing.

Kesemua suspek ditangkap atas tuduhan memiliki senjata api dan peluru yang tidak dibenarkan, memiliki dadah kategori satu, dan visa tamat tempoh.

Mereka berkemungkinan besar akan dihantar pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 12:34 PM