SUNTIKAN vaksin lindungi kanak-kanak daripada risiko dijangkiti penyakit yang sepatutnya boleh dicegah menerusi vaksin.
SUNTIKAN vaksin lindungi kanak-kanak daripada risiko dijangkiti penyakit yang sepatutnya boleh dicegah menerusi vaksin.
Hartini Mohd Nawi


IMUNISASI adalah antara langkah pencegahan yang penting bagi melindungi seseorang daripada serangan penyakit.

Kaedah paling umum untuk meningkatkan imunisasi adalah menerusi vaksinasi kerana ia antara cara paling mudah, selamat dan berkesan bagi mencegah penyakit.

Khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan tambahan supaya mereka terus dilindungi daripada dijangkiti penyakit.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Lee Mei Ling berkata, pemvaksinan kanak-kanak amat penting kerana ia melindungi dan mengurangkan risiko mereka dijangkiti penyakit serius atau penyakit yang boleh membawa maut.

"Vaksin adalah sebahagian atau keseluruhan kuman daripada penyakit tertentu yang sudah dimatikan atau dilemahkan dan apabila kanak-kanak diberi suntikan vaksin, sistem imun mereka akan membentuk antibodi untuk melindungi mereka daripada diserang penyakit," katanya.

Jelas beliau, antibodi yang terbentuk dalam badan kanak-kanak akan membantu badan mereka untuk 'mengenali' kuman atau bakteria tertentu supaya ia dapat melawan penyakit berkenaan pada masa akan datang.

"Apabila kanak-kanak diberi satu dos atau dos tambahan, mereka akan dilindungi selama bertahun-tahun dan ini terbukti bahawa pemvaksinan adalah langkah paling berkesan, selamat serta bijak bagi membentuk sistem imun yang tanpa mendatangkan sebarang penyakit," katanya.

Terdapat 12 penyakit yang boleh dicegah disenaraikan di bawah bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) termasuk difteria, Haemophilus influenza jenis B, hepatitis B, penyakit papillomavirus manusia, ensefalitis Jepun, campak, beguk, pertusis, poliomyelitis, rubella, tetanus dan tuberkulosis.

PEMVAKSINAN kanak-kanak amat penting kerana melindungi dan mengurangkan risiko dijangkiti penyakit serius.
PEMVAKSINAN kanak-kanak amat penting kerana melindungi dan mengurangkan risiko dijangkiti penyakit serius.

"NIP diperkenalkan pada awal 1950-an dan dirangka berdasarkan Program Perkembangan untuk Imunisasi (EPI) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Berdasarkan Jadual Imunisasi NIP, vaksin disediakan secara percuma di semua klinik dan hospital kerajaan seluruh negara bagi membolehkan kanak-kanak menerima suntikan seperti yang dijadualkan," katanya.

Tambahnya, selain vaksin ensefalitis Jepun yang hanya diwajibkan di Sarawak, setiap kanak-kanak perlu menerima vaksin mengikut jadual yang ditetapkan melainkan atas faktor penyakit atau keadaan perubatan tertentu yang mana ia memerlukan perbincangan lanjut bersama doktor.

Menurut Dr Lee, tindak balas imun terhadap antigen dan imunisasi boleh dibahagi kepada dua kategori iaitu tindak balas primer atau tindak balas sekunder.

"Tindak balas imun primer terhadap antigen mengambil masa antara 10 hingga 14 hari bagi membolehkan badan menghasilkan antibodi.

"Bagi tindak balas imun sekunder terhadap patogen yang sama, sel memori yang dihasilkan sebelum ini akan bertindak balas dengan lebih pantas untuk menghasilkan antibodi bagi mengelakkan jangkitan iaitu membunuh patogen sebelum ia menyebabkan seseorang individu jatuh sakit," katanya.

Kata beliau, bukan semua vaksin akan menjamin imuniti seumur hidup yang ia bergantung kepada jenis vaksin.

"Sebagai contoh, vaksin untuk campak dan hepatitis B akan memberi imuniti seumur hidup manakala tetanus atau influenza akan bertahan selama bertahun-tahun, namun perlu diberi suntikan secara berkala bagi memastikan mereka terus dilindungi daripada serangan penyakit berkenaan.

"Justeru, ibu bapa perlu menyimpan rekod vaksinasi anak bagi memastikan mereka diberi suntikan atau dos penggalak apabila perlu," katanya.

Jelasnya, setiap vaksin akan memberi kesan sampingan kepada penerimanya seperti demam biasa dan ketidakselesaan serta pedih di tempat disuntik, namun kebiasaannya kesan itu adalah pada tahap minimum.

APABILA kanak-kanak diberi suntikan vaksin, sistem imun  membentuk antibodi.
APABILA kanak-kanak diberi suntikan vaksin, sistem imun membentuk antibodi.

"Risiko menyebabkan kemudaratan adalah rendah. Jika kanak-kanak mengalami reaksi atau tindak balas terhadap vaksin yang mengancam kesihatan mereka, dos tambahan tidak akan diberi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, isu kegagalan imunisasi juga mungkin timbul disebabkan kegagalan sistem penyampai vaksin kepada individu yang memerlukan dan juga disebabkan vaksin tidak mencukupi atau faktor lain yang ada pada kanak-kanak itu sendiri.

"Selain itu, sistem imunisasi yang lemah atau imunosupresi yang berpunca daripada beberapa faktor termasuk tekanan, kekurangan zat makanan, jangkitan serentak atau sistem imun yang tidak matang juga mungkin menyebabkan kegagalan vaksinasi," katanya.

Terdapat juga isu kanak-kanak terlepas peluang untuk menerima vaksinasi yang diperlukan. Ini adalah kerana kegagalan ibu bapa untuk menyemak status vaksin yang layak untuk anak mereka selain disebabkan kekurangan pengetahuan berkenaan kontraindikasi vaksinasi.

"Sekiranya kanak-kanak tidak diberi suntikan vaksin, mereka akan terdedah dengan risiko dijangkiti penyakit yang sepatutnya boleh dicegah menerusi vaksin," jelasnya.

Tambah beliau, pemvaksinan mencetuskan beberapa kontroversi, namun tiada sebarang bukti yang menunjukkan ia mendatangkan bahaya kepada penerimanya.

"Mungkin ada ibu bapa yang mempersoalkan keberkesanan vaksin, namun perlu memahami bahawa vaksin atau imunisasi penting bagi melindungi anak untuk jangka masa panjang.

"Manfaat yang diterima jauh lebih banyak berbanding kesan sampingan yang mungkin berlaku dan ibu bapa juga disaran mendengar pandangan atau pendapat pakar perubatan berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 7:00 AM