PUSAT gempa bumi di Malang dan Jawa Timur. FOTO BMKG
PUSAT gempa bumi di Malang dan Jawa Timur. FOTO BMKG
BERNAMA

JAKARTA: Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 magnitud menggegarkan kawasan tenggara daerah Malang, Jawa Timur dan Blitar, Jawa Selatan awal pagi ini.

Gempa berpusat di 159 kilometer (km) tenggara daerah Malang itu berlaku pada jam 2.30 pagi waktu Indonesia Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gegaran itu dirasakan di Lumajang, Karangkates, Kuta, Nusa Dua dan Malang.

Tiada amaran ancaman tsunami dikeluarkan.

Setakat ini, belum ada laporan kesan atau impak gempa itu kepada penduduk dan kawasan setempat.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, gempa bumi sederhana berukuran 5.5 magnitud melanda Jawa Selatan kira-kira jam 3.30 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, kejadian gempa dengan kedalaman 10km itu berlaku pada jarak 209km selatan dari Blitar, Indonesia.

Bagaimanapun, ia tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 1:41 PM