GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AP

Jakarta: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 menggegarkan wilayah paling utara di Indonesia, Aceh, awal pagi tadi.

AP bagaimanapun melaporkan tiada kerosakan serius atau kemalangan jiwa berikutan bencana itu, termasuk tiada ancaman tsunami dikeluarkan.

Saksi gempa bumi berkata, ketika kejadian ramai orang berlari keluar dari rumah mereka ke tempat yang lebih tinggi kerana bimbang ancaman tsunami sebelum menerima mesej tiada amaran bencana itu dikeluarkan.

Untuk rekod, pada 2004, gempa bumi besar berlaku di luar pantai Aceh yang mencetuskan tsunami kuat sekali gus mengorbankan kira-kira 230,000 orang membabitkan beberapa negara lain.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan, dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter awal pagi tadi direkodkan berpusat 40 kilometer (24.8 batu) selatan-barat daya Meulaboh, bandar pantai di wilayah Aceh pada kedalaman 49 kilometer.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia mengukur gempa bumi pada magnitud 6.4.

Indonesia adalah kepulauan seismik yang aktif dengan populasi penduduk 270 juta orang yang sering dilanda bencana seperti gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami.

Pada Februari lalu, gempa bumi berukuran 6.2 skali Richter mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan 460 orang di wilayah Sumatera Barat.

Pada Januari tahun lalu, gempa bumi berukuran 6.2 magnitud mengorbankan lebih 100 orang dan mencederakan hampir 6,500 di wilayah Sulawesi Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 11:14 AM