GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesan tiga kejadian gempa bumi yang berlaku di Filipina, Indonesia dan Myanmar hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MetMalaysia pada 4.14 petang, gempa bumi kuat berukuran 7.0 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina dengan kedalaman 71 kilometer (km) yang berlaku pada jarak 102 km tenggara dari Koronadal City, Filipina.

Dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia mengesan gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda Papua, Indonesia dengan kedalaman 53 km pada 11.02 pagi.

Kejadian gempa itu berlaku pada jarak 236 km barat dari Jayapura, Indonesia.

Selain itu, gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter turut dikesan melanda Myanmar dengan kedalaman 12 km yang berlaku pada jarak 237 km tenggara dari Lashio, Myanmar pada 9.37 pagi.

Bagaimanapun, MetMalaysia memaklumkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dilaporkan dalam kesemua kejadian gempa bumi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 6:49 PM