MAHESH (tengah) bergambar bersama pengantin perempuan dalam majlis perkahwinan besar-besaran di Surat, India, semalam. Foto AFP
MAHESH (tengah) bergambar bersama pengantin perempuan dalam majlis perkahwinan besar-besaran di Surat, India, semalam. Foto AFP

NEW DELHI: Beratus-ratus pengantin perempuan yang tidak mempunyai bapa berkahwin dalam satu majlis besar-besaran ditaja seorang hartawan berlian yang sudah mengahwinkan lebih 3,000 wanita dalam tempoh lapan tahun.

Mahesh Savani percaya dengan mengahwinkan pengantin perempuan akan mendapat restu daripada Tuhan.

Dia sudah menganjurkan dan menaja perkahwinan besar-besaran untuk wanita tiada bapa di Surat pada setiap tahun sejak 2010.

DNA India melaporkan, pada tahun ini seramai 261 wanita termasuk enam beragama Islam dan tiga beragama Kristian dikahwinkan dalam majlis yang dirasmikan Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani.

Daripada jumlah itu, 118 tidak mempunyai abang atau kakak, dan 54 lagi yatim piatu.

Savani juga menghadiahkan pengantin baru itu barangan keperluan rumah untuk memulakan kehidupan mereka serta insurans bernilai 200,000 rupee (RM12,000).

Perkahwinan di India biasanya sangat mahal, malah keluarga pengantin perempuan perlu membayar mas kahwin serta hadiah kepada pengantin lelaki.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 9:04 PM