Pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne mengalami kecederaan ketika aksi bertemu Portugal. FOTO Agensi
Pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne mengalami kecederaan ketika aksi bertemu Portugal. FOTO Agensi
AFP

Brussels: Kevin De Bruyne (KDB) dan Eden Hazard kedua-duanya tidak kelihatan menjalani sesi latihan akhir Belgium menjelang pertemuan dengan Itali pada saingan suku akhir Euro 2020.

Kapten Hazard dan perancang tengah, De Bruyne kedua-dua mengalami kecederaan ketiga membantu kemenangan 1-0 Belgium ke atas Portugal, Isnin lalu.

De Bruyne bergelut dengan kecederaan pergelangan kaki sementara Hazard mengalami masalah hamstring, disebabkan itu penyerang Real Madrid berkenaan tidak menyertai sesi latihan menurut media Belgium.

Isnin lalu, jurulatih Roberto Martinez berkata nasib kedua-dua pemain untuk diturunkan ketika menentang Itali di Munich awal pagi Sabtu masih 50/50.

"Kevin dan Eden kemungkinan tidak dapat cergas 100 peratus, tapi kami akan memanfaatkan setiap hari untuk memastikan mereka cergas secepat mungkin," katanya.

Belgium dalam usaha memburu tempat ke separuh akhir buat pertama kali sejak 1980, ketika mereka tewas kepada Jerman Barat pada final.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 7:38 PM