WANITA membaca al-Quran ditemui di celah runtuhan di Palu. FOTO Reuters
WANITA membaca al-Quran ditemui di celah runtuhan di Palu. FOTO Reuters

SEBUAH masjid di pinggir Palu berdiri kukuh ketika bencana besar yang melanda pada 28 September lalu, selepas saksi melaporkan air tsunami ‘melompat’ melepasi kubahnya.

Saksi, Muhammad Alif Firmanyah, 18, berkata, ketika gempa 7.5 magnitud dan tsunami yang menyusul, dia serta anggota jemaah Masjid Jami Pantoloan bersiap untuk solat maghrib, malah azan sedang dilaungkan, lapor Tribun News.

Masjid itu dilaporkan cuma 50 meter dari pantai.

“Ketika itu saya sedang mengambil wuduk. Apabila gempa berlaku semua orang bertempiaran berlari keluar kerana bimbang ditimpa bangunan. Bagaimanapun, bilal tetap meneruskan azan sehingga selesai sebelum menyelamatkan diri.

“Semua yang berlari jatuh kerana tanah bergegar dan dalam panik mereka terus berdoa serta berzikir. Ketika tsunami melanda, air langsung tidak membadai masjid kami. Sebaliknya, gelombang air setinggi pokok kelapa itu ‘melompat’ masjid dan terbelah apabila melepasi kubahnya,” katanya.

Sementara itu, Jawa Pos memetik saksi lain, Ismail, 49, berkata, air cuma memasuki masjid dari bahagian belakang selepas tsunami berlalu.

“Namun airnya tidak dalam, cuma sekitar paras lutut. Memang tidak logik, namun saya percaya ini adalah kuasa Allah kerana masjid ini memang digunakan setiap hari untuk solat berjemaah serta mengaji,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 7:21 PM